Apakah kesukaran yang dialami peminjam?

ARLINA ARIFF
ARLINA ARIFF 

Adalah penting bagi mereka yang mempunyai masalah pembayaran balik pinjaman untuk menghubungi bank masing-masing dengan segera. Pelanggan perlu berunding dengan pihak bank bagi membincangkan pilihan dan pembayaran balik seperti penstrukturan atau penyusunan semula pembiayaan.

Kami menasihati peminjam yang menghadapi kesukaran dalam membuat pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan dengan pihak bank supaya jangan tunggu sehingga pihak bank mengambil tindakan undang-undang. Bertindak segera dengan merujuk perkara tersebut kepada pihak bank anda. Bincangkan jalan terbaik bagi membantu anda untuk ­terus membayar hutang tersebut sama ada melalui penjadualan atau penyusunan semula pinjaman atau pembiayaan. Jangan berlengah dan mengelak daripada pihak bank.

Bagaimana AKPK memainkan peranan dalam hal ini?

Sekiranya tiada jalan penyelesaian yang boleh diambil, ­pelanggan boleh merujuk perkara ini kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan kaunseling serta menyertai program ­pengurusan hutang oleh AKPK.

AKPK, ialah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh BNM pada April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak. Antara perkhidmatan yang diberi oleh AKPK adalah sesi kaunseling dan nasihat ber­kenaan pe­ngurusan kewangan, program pengurusan kredit untuk membantu pengguna menguasai semula kewangan mereka. Semua perkhidmatan dari AKPK adalah percuma.

Apakah implikasi ke atas peminjam apabila gagal membuat bayaran?

Di antara implikasi ke atas peminjam apabila gagal membuat bayaran pinjaman atau pembiayaan:

Faedah pinjaman atau pembiayaan akan dinaikkan

Menanggung segala kos dan caj bagi tindakan undang-undang yang diambil oleh pihak bank

Risiko aset boleh dilelong

Bayaran tertunggak akan tertera dalam laporan CCRIS

Kesukaran memohon pinjaman atau pembiayaan kewangan pada masa akan datang

Boleh diisytihar bankrap (bagi jumlah baki pembiayaan melebihi RM50,000)

Apakah perkhidmatan ditawarkan BNMLINK?

BNMLINK ditubuhkan pada 2005 sebagai medium untuk orang ramai membuat aduan atau mendapatkan maklumat berhubung perkara berkaitan ­sektor kewangan. Antara per­khidmatannya termasuk menyediakan maklumat dan khidmat nasihat mengenai perbankan konvensional dan Islam serta insurans dan takaful seperti produk dan perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh institusi perbankan, syarikat insurans dan pengendali takaful, semakan dan cetakan laporan kredit secara percuma, pertukaran mata wang asing dan membantu dan menangani secara berkesan bagi penyelesaian aduan pengguna kewangan dalam hal-hal perbankan, insurans atau taka­ful serta dana dan pembiayaan untuk perusahaan kecil sederhana (PKS).

Berapa banyak aduan diterima BNMLINK setiap hari?

Kami menerima 2,500 aduan dan pertanyaan setiap hari secara purata berkaitan ­perkhidmatan institusi kewangan, insurans dan takaful setakat ini. Majoriti interaksi diterima dalam bentuk panggilan dan e-mel bertanyakan khidmat nasihat dan pengesahan tentang polisi bank pusat. Setelah aduan diterima, BNMLINK akan mengajukannya kepada pihak berkenaan sama ada bank atau syarikat insurans untuk mendapatkan penjelasan. Institusi terlibat akan diberi masa dua minggu untuk memberi maklum balas kepada BNMLINK dan sekiranya kes itu tidak diberi perhatian, tindakan akan diambil. Kami juga sering me­nerima aduan berkaitan jenayah penipuan melibatkan kewangan yang semakin berleluasa iaitu sindiket Macau Scam.