Pengarang Urusan Drive Safe & Fast (DSF), Daniel Sherman Fernandez berkata, meskipun harganya lebih menarik, membeli kereta baharu hanya jika benar-benar perlu atau telah lama merancang untuk membelinya.

Ini kerana ansuran untuk kereta baharu adalah sehingga sembilan tahun, malah dengan harga kereta baharu yang lebih murah, harga kereta lama yang ingin ditukarkan turut dinilai lebih rendah.

“Sebagai contoh, katakan anda memandu kereta BMW 320i ber­usia sembilan tahun yang pada bulan lalu nilainya adalah sekitar RM45,000 hingga RM48,000.

“Dengan penurunan kadar GST, anda teruja untuk membeli BMW 330e Sport kerana harganya telah turun daripada RM258,800 kepada RM244,192, dan ini adalah penjimatan sebanyak RM14,608.

“Bagaimanapun, nilai BMW 320i anda yang ingin ditukarkan itu juga akan menurun sekurang-kurangnya RM14,000 kepada hanya antara RM30,000 hingga RM35,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Daniel, pembeli kereta kali pertama adalah satu-satunya golongan yang benar-benar mendapat manfaat penurunan harga tersebut.

“Jadi, adakah anda benar-benar menjimatkan wang? Jawapannya agak jelas bahawa ramai rakyat Malaysia tergesa-gesa tanpa melihat dengan teliti penjimatan sebenar di peringkat akhirnya,” katanya.

Hasil pemansuhan GST juga, pasaran kereta terpakai akan menerima kesan yang mana para pengedar mungkin terpaksa menanggung kerugian hasil jualan kenderaan yang rendah daripada stok sedia.

Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan kadar sifar GST berkuat kuasa 1 Jun lalu dan perkara itu dilihat sebagai durian runtuh buat industri automotif yang menikmati penjimatan enam peratus.

Ia juga menjadi berita baik buat pengeluar kereta yang telah melalui tempoh suram sejak beberapa bulan sebelum ini.

Malah sejak bulan lepas, jenama-jenama kenderaan di pasaran tempatan telah mengeluarkan kenyataan untuk menyerap kadar GST lebih awal daripada tarikh pelaksanaan asal kementerian.

Orang ramai mengambil peluang ini untuk membeli kereta kerana harga jualannya menyaksikan penurunan ketara buat ketika ini sebelum cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenal pada 1 September ini.