Penaung Persatuan Pekerja Bersara Malaysia Airline Berhad (MASRA), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, dalam keadaan kritikal MAS kini, kerajaan perlu mengeluarkan kertas cadangan yang mengandungi cara-cara untuk menyelamatkan syarikat itu secepat mungkin dan bukan mengambil keputusan untuk menutupnya.

“Kerajaan perlu terbuka dan maklumkan apa masalah MAS, jangan berselin­dung. Boleh buka pada swasta kerana ada yang berminat.

“Dengan 78 peratus faktor muat penumpang, MAS kini kerugian RM800 juta. Itu adalah sesuatu yang pelik kerana 78 peratus faktor muat penum­pang pada waktu saya dulu akan memberi keuntungan kepada syarikat. Pasti ada yang tidak kena di mana-mana,” katanya yang merupakan bekas Pe­ngarah Urusan MAS dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Abdul Aziz, beliau yakin MAS boleh dikembalikan kepada zaman kegemilangannya dengan pentadbiran yang betul dan tindakan kerajaan menyatakan hasrat untuk menutupnya adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan.

“MAS adalah maruah negara kita, dimulakan oleh tenaga tempatan. Kami di sini adalah antara pelopor yang memulakan syarikat penerbangan kebangsaan ini daripada tiada apa-apa. Kita bina satu-satu sehingga MAS menjadi antara syarikat penerbangan terbaik.

“Jadi kami di sini hari ini juga menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan kewangan kepada kerajaan sebagai usaha untuk menyelamatkan syarikat penerbangan kebangsaan ini,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, antara sebab MAS mengalami kerugian adalah apabila kerajaan membenarkan syarikat tambang murah mula ber­saing dengan MAS.

“Bayangkan ada syarikat penerbangan menawarkan harga yang jauh lebih murah untuk satu destinasi, sudah tentu penumpang memilih yang murah. Sedangkan pada masa itu kerajaan tidak membenarkan MAS untuk menurunkan harga penerbangan. Jadi, bila sekarang MAS mahu turunkan harga, sudah terlambat,” katanya.