Menurut Laporan Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), situasi itu berpotensi mendedahkan isi rumah kumpulan berkenaan kepada apa-apa kejutan ekonomi atau kecemasan.

Laporan itu juga turut mendedahkan, isi rumah dengan penda­patan di bawah RM2,000 juga di­dapati membelanjakan 94.8 pe­ratus daripada pendapatan mereka untuk barangan pengguna meningkat dari 91.9 peratus dari pendapatan mereka pada 2014, berbanding isi rumah melebihi RM15,000 yang hanya menghabiskan kira-kira 45 peratus pendapatan mereka pada tahun 2016.

“Median pendapatan isi rumah pada 2016 ialah RM5,288, manakala kira-kira 67 peratus daripadanya dibelanjakan bagi perbelanjaan isi rumah, mening­kat dari 65.1 peratus pada 2014.

“Ini bermakna lebihan pendapatan selepas ditolak perbelanjaan atau baki pendapatan isi rumah, telah berkurangan bagi semua peringkat pendapatan,” menurut laporan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Laporan itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Tambah laporan tersebut, an­tara tahun 2014 dan 2016, isi rumah dengan jumlah pendapatan di bawah RM5,000 didapati kurang berbelanja untuk makanan walaupun lebih banyak wang dikeluarkan bagi pembelian disebabkan kadar inflasi harga makanan yang tinggi.

Katanya, bagi isi rumah yang lebih berkemampuan, perubahannya adalah lebih kepada perubahan gaya hidup iaitu daripada berbelanja untuk makan di rumah kepada berbelanja untuk makan di luar, dan untuk perkhidmatan hiburan dan kebudayaan.

Ia juga menyatakan bahawa pendapatan isi rumah adalah ter­masuk pendapatan yang per­lu dibayar sebagai cukai dan skim-skim keselamatan sosial yang wajib.

Menurut laporan itu lagi, terdapat sejumlah 7.5 juta isi rumah di Malaysia pada 2016 di mana 6.9 juta daripada mereka diketuai warganegara Malaysia manakala yang lain adalah bukan warganegara.

“Pekerja yang menerima gaji, diikuti mereka yang bekerja sen­diri adalah dua punca pendapatan penting bagi ketua-ketua isi rumah dan masing-masing men­yumbang 63 peratus dan 15.6 pe­ratus pada 2016, berbanding 66.6 peratus dan 17.2 peratus masing-masing pada 2012,” katanya.