Harga Proton Iriz dan Persona bagi Semenanjung, ma­sing-masing adalah RM36,700 hingga RM50,700 sebuah dan RM42,600 hingga RM54,600 sebuah tidak termasuk insurans.

Proton dalam kenyataannya berkata, Iriz dikeluarkan dalam lima varian iaitu Standard 1.3L MT dan CVT; Executive 1.3L CVT; Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT manakala Persona empat varian iaitu Standard 1.6L MT dan CVT; Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT.

“Lima pakej menarik turut ditawarkan kepada pembeli. Antaranya cukai jalan percuma selama dua tahun bagi kereta-kereta yang ditempah sebelum pelancaran dan bagi 1,000 kenderaan pertama yang didaftarkan. Selain itu, terdapat juga data internet percuma untuk lima tahun dan kadar pinjaman yang rendah bermula daripada 2.93 peratus.

“Pakej servis menawarkan caj pekerja percuma bagi tiga temu janji servis berjadual sehingga 20,000 kilometer. Pakej Perlin­dungan Insurans pula melibatkan penepian kos pembaikan; perlindungan nilai yang dipersetujui, Key Care, semua pemandu dan kemalangan diri serta elaun banjir,” katanya di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Dr. Li Chunrong; Ahli Lembaga Pe­ngarah Proton, Shaharul Farez Hassan dan T. Amalanathan; Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar; Pengerusi DRB-Hicom, Datuk Mohammad Zainal Shaari; Timbalan CEO Proton, Datuk Radzaif Moha­med dan Timbalan Ketua Setiausaha Pelaburan DRB-Hicom, Hairil Yahri Yaacob.

Tambah Proton, antara ke­dua-dua model tersebut perubahan luaran pada Iriz lebih ketara kerana model itu dilengkapi dengan gambaran baharu syarikat iaitu gril hadapan yang mula diperkenalkan pada Proton X70.

Katanya, model itu juga mene­rima peningkatan pada bampar hadapan dan belakang baharu, hiasan belakang berwarna hitam, reka bentuk roda aloi baharu serta antena sirip yu yang membuatkan Iriz lebih menonjol.

“Reka bentuk pada Persona 2019 tidak begitu ketara tetapi tetap menampilkan corak Ethereal Bow dan Infinite Weave. Turut dipadankan pada model sedan keluarga ini adalah spoiler baharu pada but, reka bentuk bampar hadapan dan belakang baharu dan reka bentuk roda aloi yang lebih menarik,” jelasnya.

Harga Iriz dan Persona 2019 bagi Sabah dan Sarawak, ma­sing-masing adalah RM38,700 hingga RM52,700 sebuah dan RM44,600 hingga RM56,600 sebuah tidak termasuk insurans.