Menurut Presiden BDO Capital and Investments Corp., Eduardo Francisco yang dipetik Manila Times, pihaknya bagaimanapun masih membuat penilaian berhubung perkara tersebut dan penstrukturan terbitan yang boleh mencecah sehingga AS$250 juta (RM1.05 bilion).

Namun katanya, melihat kepada saiz urus niaga itu, AirAsia menyasarkan IPO tersebut untuk pelabur tempatan dan asing.

“Jadualnya masih belum jelas dan pada masa sama kami juga perlu dapatkan penjelasan daripada pengawal selia,” katanya dalam laporan berkenaan.

AirAsia mula mengumumkan penyenaraian itu pada 2015 dan merancang menggunakan dana daripada IPO itu untuk membiayai lebih banyak pembelian pesawat dan membina ibu pejabat baharu di Manila.

Memulakan operasi di Filipina pada 2012, syarikat itu beroperasi dengan 17 pesawat bagi penerbangan antarabangsa dan domestik melalui habnya di Manila, Cebu dan Kalibo.

Setakat ini, AirAsia merupakan syarikat penerbangan ketiga terbesar di Filipina selepas Cebu Pacific dan Philippine Airlines. AirAsia Filipina menguasai 11 peratus pasaran di peringkat domestik dan 4.6 peratus bagi kapasiti tempat duduk antarabangsa.

Dalam tempoh 2015 hingga 2016, AirAsia telah menerbangkan 577,536 penumpang dari Ma­­nila, Cebu dan Kalibo yang menghubungkan mereka de­ngan bandar-bandar utama di Fili­pi­­na termasuk Clark, Caticlan, Tacloban, Palawan dan Tagbilaran.

Tahun ini sahaja AirAsia telah melancarkan laluan domestik dari Davao ke Cebu, Palawan dan Boracay serta penerbangan terus dari Cebu ke destinasi antarabangsa lain seperti Singapura, Taipei dan Seoul.

Pada 21 Julai lalu, AirAsia menawarkan laluan terus Kuala Lumpur-Davao yang merupakan laluan terus keempat ditawarkan syarikat penerbangan tambang murah itu selepas Manila, Cebu dan Kalibo.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pada Julai lalu berkata, AirAsia Filipina amat penting kepada pertumbuhan kumpulan dan berharap dapat disenaraikan pada suku pertama 2018.

Penyenaraian itu penting dalam usaha AirAsia membentuk sebuah syarikat tersenarai di bawah pelan One AirAsia dalam tempoh dua tahun. Bagi merealisasikan hasrat itu, ia perlu menyatukan kesemua unit di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia.