Sukhdave SingH

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr. Sukhdave Singh berkata, ketiga-tiga perjanjian tersebut mempunyai peranan pen­ting dalam memacu pertumbu­h­­an produktiviti, mempercepatkan pembaharuan struktur, mewujudkan ekonomi Malaysia yang pelbagai, berdaya saing dan berdaya tahan.

Katanya, walaupun permintaan dalam negeri pada persekitaran yang mencabar adalah satu pencapaian yang perlu diberi perhatian, ia masih belum mencukupi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Sejak tahun 2007, sumbangan eksport bersih kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar telah negatif de­ngan penge­cualian tunggal pada 2014. Dalam jangka masa panjang, sumbang­an sektor luar­an perlu di­tingkatkan untuk menyokong ekonomi yang sihat dan mampan.

“Untuk itu adalah penting bagi Malaysia mengukuhkan hubu­ng­an ekonomi dengan negara-negara luar bagi memastikan pengukuhan dan pertumbuhan ekonomi kekal berdaya saing,” katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan Hab Pengetahuan dan Penyelidikan Bank Dunia di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Negara Malaysia, Bank Dunia, Faros Hadad-Zervos dan Pengarah Bahagian Ekonomi BNM, Fraziali Ismail.

Sukhdave berkata, kini adalah masa yang tepat dan sesuai bagi semua negara untuk melihat dan menilai sendiri integrasi ekonomi dan kewangan yang ditawarkan oleh negara-negara Asia dan Amerika Latin.

Ini kerana ujarnya, ekonomi global se­olah-olah tidak ber­upaya untuk melonjak semula ke arah pertumbuhan yang sihat selepas negara-negara maju mengalami krisis kewangan.

“Untuk itu kita perlu melihat kaedah alternatif bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan satu daripadanya adalah melalui integrasi ekonomi serantau dan global yang lebih besar, dan inilah yang sedang kita lakukan sekarang menerusi TPPA dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun Sukhdev berkata, terdapat juga kesedaran tentang risiko yang telah membawa kepada pendekatan berhati-hati tetapi progresif terhadap isu integrasi kewangan ASEAN.

“Kami berharap dapat memastikan integrasi kewangan menyumbang kepada pertumbuhan mampan ekonomi ASEAN,” katanya.