Pengarah dan Ar­ki­tek Penyelesaian Glo­bal Sektor Kewangan Schneider Electric, Hugh Lindsay berkata, kebanyakan institusi kewangan dilihat masih belum mempunyai strategi yang mampan untuk menangani ancaman tersebut.

Sebaliknya kata beliau, penjenayah siber sentiasa berusaha menyesuaikan strategi mereka dengan perkembangan industri berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan institusi kewangan yang ber­urusan dengan kami termasuk di negara-negara Asia, sistem mereka masih sistem warisan (lama).

“Mereka seolah-olah tiada perancangan bagaimana untuk mendepani jenayah siber. Strategi yang ada pula sudah ketinggalan.

“Saya boleh katakan tidak ada industri yang benar-benar bersedia sedangkan ri­siko sangat tinggi,” katanya ketika ditemui di Sidang Kemuncak Inovasi Schneider Electric 2017 di sini, sema­lam.

Sidang kemuncak itu yang memberi fokus kepada ekonomi digital dihadiri oleh lebih 1,000 pelanggan Schneider dari seluruh dunia.

Schneider merupakan pe­ne­­raju dan pakar dalam pengurusan tenaga dan automasi, beroperasi di lebih 100 buah negara dengan lebih 160,000 tenaga kerja.

Mengulas lanjut, Lindsay berpendapat, isu keselamatan siber sememangnya menjadi perhatian di peringkat pembuat dasar dan pengawal selia kewangan.

Malah katanya, banyak usa­ha telah pun diambil khusus­nya di blok negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat untuk mendepani­nya khusus­nya dalam konteks ekonomi digital di mana urusan transaksi elektronik semakin berkembang dan merentasi sempadan.

“Perbankan digital akan te­rus berkembang kerana para pelanggan kini mahukan per­khidmatan yang selesa, mudah dan lebih pantas se­iring dengan kemajuan internet.

“Jadi, faktor-faktor ini turut mewujudkan pelbagai risiko dan ia seharusnya diuruskan dengan baik,” katanya.

Schneider kelmarin melancarkan platform EcoStruxure World Premium bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital global.

Platform tersebut mengan­dungi tiga aplikasi iaitu Eco­Struxure Teknologi Maklumat (IT), EcoStruxure Bangunan dan EcoStruxure Platform Perisian Industri yang dapat memenuhi keperluan inovasi industri serta perniagaan di semua peringkat. – UTUSAN