Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ekspo itu yang ber­temakan Inovasi Pemacu Pro­duk Berkualiti bakal menjadi platform penting bagi memper­kenalkan dan mengetengahkan inovasi, teknologi serta peng­a­pli­kasian terkini model baharu perniagaan khususnya kepada usahawan luar bandar.

Jelas beliau, ia bagi menja­di­kan usahawan desa lebih inovatif, progresif dan berdaya saing sejajar dengan landskap ekonomi luar bandar seterusnya melonjakkan perniagaan desa ke peringkat global.

“INOTEKDESA 2018 juga akan menemukan usahawan-usaha­wan desa dengan pembekal tek­nologi dan inovasi dalam me­ningkatkan penge­luaran produk serta perkhidmatan yang lebih berkualiti.

“Dengan penglibatan lebih 400 pempamer, pihak kementerian sebagai pe­nganjur me­nyasarkan jumlah jualan sebanyak RM10 juta terma­suk jualan mesin-mesin untuk sepanjang empat hari ekspo ini berlangsung,” katanya da­lam Taklimat Media sempena INOTEKDESA 2018 di sini hari ini.

Menurut Rina, INOTEKDESA 2018 merupakan salah satu program di bawah teras keusahawanan dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar yang di­lancarkan pada 29 Oktober lalu.

Beliau berkata, ekspo itu yang merangkumi pameran teknologi, inovasi dan mesin serta ju­alan produk dan perkhidmatan usahawan desa, terbahagi kepada sembilan kluster perniagaan.

Kluster-kluster itu ialah makanan dan minuman, perkhidmatan, gaya hidup, kesejahtera­an, pertanian, pembinaan, tek­nologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kreatif ICT, teknologi tinggi dan otomotif.

RINA Harun (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pempamer, Asfarena
RINA Harun (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pempamer, Asfarena Samion (kiri) pada sesi lawatan pameran selepas Taklimat Media mengenai INOTEKDESA 2018 yang bakal berlangsung di Melaka. - UTUSAN ONLINE/GAIE UCHEL

“Selain itu, INOTEKDESA 2018 juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung seperti cabutan bertuah harian dan bonanza, persembahan artis dan buskers, pertunjukan fesyen, demonstrasi masakan dan pertandingan mewarna.

“Aktiviti lain turut diadakan adalah seperti permainan e-sport, pertandingan robotik, pencarian harta karun, perma­inan tradisional dan persembahan bola sepak gaya bebas,” katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya masih membuka peluang kepada mana-mana pihak untuk menjadi penaja.

Ujarnya, penaja akan me­nerima pelbagai manfaat dan faedah antaranya berpeluang memperkenalkan produk mereka melalui gerai yang diletakkan di kawasan strategik dalam ruang pameran.

RINA Harun berucap pada sesi Taklimat Media mengenai Program INOTEKDESA
RINA Harun berucap pada sesi Taklimat Media mengenai Program INOTEKDESA 

“Penaja juga berpeluang men­dapatkan pelepasan cukai perniagaan, mendapat publisiti melalui promosi yang dilakukan pihak kementerian dan didaf­tarkan sebagai pembekal per­khidmatan untuk usahawan yang berjaya mendapatkan pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), SPED NANO, geran Desa Lestari dan program lain di bawah kementerian serta agensi-agensinya.

“Untuk maklumat lanjut mengenai INOTEKDESA 2018, boleh layari laman web www.rurallink.gov.my atau portal rasmi inotekdesa.rurallink.gov.my serta laman Facebook Inotekdesa atau Instagram inotekdesa,” katanya.