Rakan Kongsi Tidak Langsung Deloitte Malaysia, E. Senthuran berkata, langkah itu juga akan mengurangkan kos operasi terutama bagi syarikat multinasional asing.

“Malaysia adalah ekonomi yang dipacu oleh eksport yang memberi tumpuan kepada pembuatan dan dengan GST yang menjadi nilai sifar, ini akan membantu pengilang mengurangkan kos mereka yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang.

“Oleh kerana kos berkurangan, perolehan akan meningkat dan perniagaan baharu akan dapat diwujudkan yang dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta menarik pelaburan asing ke negara ini,” katanya kepada Bernama.

Pada 11 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju empat lagi perkhidmatan akan dile­takkan di bawah kategori pembekalan berkadar sifar bagi tujuan GST.

Perkhidmatan itu adalah perkhidmatan ditetapkan berkaitan dengan barang untuk dieksport yang mana perkhidmatan itu dibekalkan kepada pelanggan luar negara dan perkhidmatan ditetapkan yang dibekalkan dalam Zon Bebas, termasuk Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) kepada pelanggan luar negara. 

Dua lagi perkhidmatan ter­babit ialah perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang disediakan kepada pelanggan luar negara dan perbelanjaan tidak berulang yang ditanggung sebagai perbelanjaan kejuruteraan, termasuk alat dan jentera yang digunakan dalam pro­ses pengilangan barangan.

Selain itu, Senthuran berkata, langkah itu merupakan contoh yang baik bagi peserta industri dan pihak berkuasa untuk bekerjasama yang akan memberi manfaat kepada eko­nomi.

Di bawah keputusan sebe­lumnya, syarikat asing menghadapi pelbagai masalah, termasuk tidak dapat mendaftar GST yang membawa kepada masalah dalam menuntut cukai input mereka.

“Isu ini telah dibangkitkan terutamanya oleh peserta industri. Oleh itu, dari segi ekonomi, keputusan ini akan membantu sektor pembuatan terutamanya dalam jangka panjang,” katanya.

Bagi tahun ini, kerajaan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjangka dapat mengutip RM42 bilion dari segi perolehan GST berbanding RM41 bilion pada 2016. - BERNAMA