Ya, model SUV pertama keluaran Proton itu difahamkan berasaskan model Geely Boyue. Pedulikan apa orang nak kata, konon ia buatan China yang dimomokkan dengan bermutu rendah.

Jangan lupa, pemilik kenderaan Geely Boyue, Zhejiang Geely Holding Group (49.9 peratus pegangan dalam Proton) telah menguasai saham Volvo sejak 2010. Maka teknologi Volvo dipasang pada kereta China tersebut. Tidak ada masalah dan ia laris di sana. Yang penting Proton perlu tampil dengan lebih banyak model baru yang berdaya saing dan menarik.

Kalau model kereta jenama Perodua tidak banyak yang memberi komen negatif, sudah tiba hentikan kritikan yang memburuk-burukkan kereta Proton. Sebenarnya model Perodua Myvi juga adalah diambil daripada model Toyota Passo. Bukan asing pun model kereta tempatan diambil daripada model kereta luar negara, cuma dipasang di negara ini.

Jadi tak payah kita pandang rendah, mengkritik, mengecam dan menghentam idea atau pendekatan baharu Proton. Kereta SUV keluaran Proton ini menggunakan kepakaran Geely dan Volvo. Terima dan sokonglah.

Barangkali kita lupa bahawa di China, kenderaan jenama Geely mempunyai pasaran yang luas. Bayangkan apabila Proton pulih kelak, pasaran dua bilion penduduk ini akan terbuka kepada Proton juga. Kemungkinan hal ini bakal berlaku dan menguntungkan pengedar, vendor dan pihak lain yang berkaitan dengan Proton.

Rakyat negara ini harus meletakkan keyakinan kepada Proton. Untuk membawa Proton kembali pada kedudukan nombor satu seperti za- man kegemilangannya dahulu, kenalah men­dapat kerjasama daripada rangkaian sistem infra­struk­turnya, baik dari­pada pengedar, vendor dan juga pusat servis.

Tanpa ‘sayap-sayap’ ini, kejayaan menaikkan kembali jualan dan imej Proton tidak akan berjaya. Sebab itu pemikiran vendor dan pengedar perlu diubah.

Pada hakikatnya, Geely perlu membuat peruba­han pada Proton demi pertumbuhan kereta nasional. Tambahan pula citarasa pengguna telah berubah. Pengguna me­milih jenama yang boleh memberikan laya­nan yang menyeluruh, dari­pa­da membeli kere­ta hing­galah servis lepas jualan. Jadi tidak hai- ranl­ah Proton meminta para penge­dar supaya me­naik taraf daripada 1S ke 3S ataupun 4S.

Menurut Pengerusi Proton Holdings Bhd., Datuk Seri Syed Faizal Albar Syed Ali Rethza Al­bar, Geely Holding ber­­­setuju bersama-sama DRB-HICOM un­­tuk men­jadikan Pro­ton je­nama ulung di Ma­­lay­sia, selain pelan jang­ka sederhana untuk mem­­pelopori pasaran ASEAN. Geely Holding te­l­ah meletak sasaran un­tuk Proton mencatat jualan se­banyak 400,000 unit se­tahun men­­jelang tahun 2027 di Malaysia dan Asia Teng­gara.

Ini adalah satu peluang keemasan bagi semua dalam rangkaian infastruktur Proton. Walau bagaimanapun mereka harus mengubah pendekatan daripada cara lama kepada yang baharu dalam industri automotif ini. Sebagaimana berlaku perubahan pada model kenderaan, begitu juga diharapkan pada trend dan model perniagaan.

Mengekalkan status

Kita perlu sedar bahawa Proton adalah sebuah syarikat persendirian. Ia bukan lagi milik kerajaan. Apabila DRB-HICOM membeli ekuiti 100 peratus daripada Khazanah Nasional pada tahun 2012, tiada lagi wujud saham emas milik kerajaan. Namun DRB-HICOM yang memegang majoriti ekuiti dalam Proton, iaiti 50.1 peratus masih mengekalkan status kereta nasional.

Perlu diingat Proton sekarang tiada perlindungan seperti zaman kegemilangannya dan perlu bersaing dengan model atau jenama kereta yang lain. Kini dengan perubahan dalam industri automotif, para vendor dan pengedar Proton perlu cekal dan berani.

Dengan evolusi pesat industri kenderaan, nampaknya masa tidak menunggu sesiapa pun. Kalau ada pertangguhan antara kalangan para vendor, maka berkemungkinan Proton tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan. Proton telah meletakkan sasaran bersandarkan kepada perubahan semasa industri automotif, jadi semua pihak perlu bekerjasama menuju matlamat di hadapan.

Fokus pertama Proton tentulah pasaran Malaysia. Jenama ini sebenarnya ada tempat di hati rakyat Malaysia. Jadi tugas semua pihak dalam Proton ialah mengembalikan zaman kegemilangan Proton di negara ini dan menjadikannya jenama nombor satu Malaysia.

Kedua adalah pasaran ASEAN iaitu menjadi tiga teratas di rantau ini. Tidak mustahil dengan adanya rakan strategik baru. Geely Holding mempunyai kekuatan kewangan, latar belakang teknologi yang kukuh serta rekod kejayaan memulihkan syarikat kenderaan di dunia.

Proton berserta para vendornya kini berada di landasan kukuh untuk tembusi pasaran global setelah rakan strategik asingnya Geely memperolehi kira-kira 10 peratus kepentingan dalam pengeluar kereta Jerman, Daimler.

Para vendor Proton sebenarnya berdepan dengan peluang yang amat besar. Geely Holding mempunyai jenama besar di dalam kumpulan mereka. Ini sekali gus meletakkan Proton menjadi sebahagian daripada kumpulan berpotensi mendapat banyak manfaat dan teknologi tinggi yang terdiri daripada jenama antarabangsa seperti Daimler, Mercedes Benz, Volvo, Lotus, serta London Taxi Cabs.

Dalam dunia automotif, kerjasama adalah perlu. Kita boleh lihat banyak pengeluar kenderaan sudah bergabung. Kumpulan TATA dari India memiliki jenama Jaguar dan Land Rover; atau BMW memiliki Mini dan Rolls-Royce, Renault, Nissan dan Mitsubishi dalam satu gabungan besar.

Oleh itu kita jangan ingat bahawa kita boleh menawan dunia secara bersendirian. Kena bijak untuk adakan kerjasama dengan pihak lain.