Lebih 50 penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) akan memantau harga keperluan asas harian dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengenakan harga melepasi paras maksimum.

Pengarah PPDNKK negeri, Azlan Abdul Samat berkata, harga paras maksimum telah ditetapkan bagi 20 jenis barang harga terkawal untuk dikuatkuasakan bermula 17 Jun sehingga 30 Jun ini.

“Peniaga yang gagal mematuhi boleh dikenakan denda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu manakala bagi syarikat pula dikenakan denda sehingga RM20,000 atau kompaun RM10,000 di bawah Akta Kawalan harga dan Antipencatutan 2011,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan harga sempena Kempen Kesedaran Kementerian PDNKK Bersama Media di Pasar Payang, di sini hari ini.

Katanya, antara barang disenaraikan termasuk ayam hidup dengan penetapan harga runcit RM6.20 sekilogram (kg), ayam standard (RM7.50 kg), ayam super (RM8.40 kg), daging lembu tempatan (RM32 kg),daging kerbau import (RM20 kg), cili merah (RM11 kg), kelapa parut (RM7.20 kg) dan ikan tongkol dengan penetapan RM10 kg.

“Perkara itu perlu dipatuhi termasuk meletakkan tanda harga berwarna merah jambu diletakkan pada barang yang dikawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri 2017 dan timbang digunakan semestinya dalam tempoh yamg dibenarkan,”ujarnya.

Katanya, berdasarkan kempen itu, pihaknya berpuas hati dengan kepatuhan peniaga terhadap undang-undang kepenggunaan kerana semua penjual meletakkan tanda harga. - UTUSAN ONLINE