Syarikat yang memfokus kepada pembinaan menara telekomunikasi itu mengatasi 20 lagi anak syarikat Kumpulan PKINK apabila mendapat markah tertinggi dalam 12 elemen yang dinilai terutama aspek keupayaan menjana keuntungan dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, penarafan bintang sejak 2013 dilaksanakan bertujuan memberi motivasi kepada anak-anak syarikat supaya melakukan yang terbaik dalam bidang masing-masing.

“Infra Quest contohnya adalah anak syarikat kami yang sentiasa mempamer prestasi terbaik malah mencatat purata keuntungan tahunan hampir RM20 juta.

“Setakat ini projek pembinaan menara yang disewakan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi masih tertumpu di Kelantan tetapi dalam masa terdekat ini Infra Quest bakal melebar sayap ke Terengganu,” katanya selepas Majlis Anugerah Penarafan Bintang, Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK di sini semalam.

Selain Infra Quest, dua lagi anak syarikat PKINK iaitu Kelstone Sdn. Bhd. dan ASCII Line Sdn. Bhd. turut diiktiraf sebagai antara tiga yang terbaik apabila masing-masing mendapat penarafan empat bintang.

Pada majlis itu juga, seramai 41 orang kakitangan ibu pejabat PKINK dan anak-anak syarikat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas prestasi mereka sepanjang 2017 dan kesemua penerima membawa pulang wang tunai RM1,000, sijil serta plak.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PKINK, Datuk Ahmad Yakob.

Terdahulu, Ahmad dalam ucapannya mengiktiraf jasa bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Dr. Wan Zawawi Wan Ismail yang berjaya membawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ke tahap terbaik sehingga mampu menyumbang semula kepada rakyat.

Wan Zawawi, 58, yang mula menerajui PKINK pada Jun 2013 menamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa semalam. - UTUSAN ONLINE