Ini kerana, nilai pasaran global minyak sawit pada tahun 2015 dilaporkan berjumlah AS$65.73 bilion (RM 263.479 bilion) dan dijangka mencecah AS$92.84 bilion (RM372.122 bilion) dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 7.2 peratus pada 2021.

Perangkaan ini jelas menunjukkan penggunaan minyak sawit terus meningkat dalam pelbagai industri, bukan sekadar sebagai minyak masak, tetapi juga dalam industri makanan, sabun dan kosmetik sehingga kepada penggunaannya sebagai bahan api biofuel.

Penggunaan minyak sawit dalam pelbagai sektor dan industri di EU sendiri turut me­ningkat dengan indexmundi.com menyatakan import komoditi ke rantau itu pada tahun lalu kira-kira 6.5 juta tan metrik, iaitu kedua tertinggi selepas India.

Justeru, peningkatan penggunaan minyak sawit dilaporkan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu di EU khususnya mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri minyak kacang soya.

Maka itu, pelbagai kempen telah dijalankan secara berterusan untuk memburuk-burukkan imej industri mi­nyak sawit kononnya menjejaskan kesihatan. Usaha tersebut ba­gaimanapun gagal hasil usaha penjelasan dan penerangan termasuk secara saintifik me­ngenai kebaikan minyak sawit oleh pelbagai pihak khususnya dari Malaysia.

Namun, pihak terbabit ter­nyata tidak berpuas hati dan mengaitkan pula industri de­ngan isu alam sekitar dan ancaman terhadap hidupan liar. Kempen tidak bermoral mereka bagaimanapun mendapat sokongan majoriti ahli parlimen EU dengan laporan menyatakan 640 menyokong dan hanya 18 yang menentang. Suruhanjaya EU dilaporkan akan mengundi dalam tempoh dua minggu lagi sama ada meluluskan usul tersebut atau sebaliknya.

Semalam, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komo­diti, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan, Malaysia, Indonesia dan Thailand selaku tiga negara pengeluar utama mi­nyak sawit dunia bersedia untuk bertindak balas sekiranya Suruhanjaya EU meluluskan usul menghalang penggunaan bahan api bio berasaskan sawit.

Kerajaan sebelum ini te­lah berkali-kali menyatakan tidak akan bertolak ansur de­ngan mana-mana pihak yang menjalankan kempen untuk memburuk-burukkan industri minyak sawit demi menjamin kehidupan 650,000 pekebun kecil.

Kepentingan minyak sawit kepada masa depan 650,000 pekebun kecil itu juga pernah disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Perancis, Francois Hollande semasa lawatannya ke negara ini tahun lalu.

Untuk itu, Malaysia perlu bekerjasama dengan negara-negara pengeluar minyak sawit lain termasuk di rantau Afrika bagi merangka tindakan balas sekiranya Suruhanjaya EU meluluskan usul tersebut.

Meskipun rantau EU merupakan rakan dagangan pen­ting bagi Malaysia, Indonesia, Thailand dan negara-negara pengeluar minyak sawit lain, namun tindakan blok berke­naan menggugat masa depan ekonomi negara perlu dita­ngani secara bijaksana. Malaysia tidak boleh bersendirian dalam menangani isu ini, sebalik­nya penglibatan sama negara pengeluar minyak sawit lain akan menjadikan tindakan balas lebih berkesan.

Selain memboikot produk dari rantau EU, tindakan lain termasuk dalam aspek pelancongan, pendidikan, ketenteraan, penerbangan dan lain-lain. Benar, ‘perang ekonomi’ bukanlah jalan penyelesaian terbaik, namun kepentingan negara dan rakyat perlu dipertahankan.

Sebagaimana ditegaskan oleh seorang pegawai kanan syarikat minyak sawit di Indonesia kepada sebuah portal berbahasa Inggeris di United Kingdom, usul yang dikemukakan langsung tidak konstruktif dan hanya satu mimpi sekiranya EU berpendapat ia boleh meng­atasi masalah se­perti didakwa.

Ini kerana jelasnya, pemusnahan alam sekitar atau penebangan hutan untuk sektor pertanian turut berlaku di Eropah dan sejauh mana pihak berkuasa di rantau itu bertindak menanganinya turut menjadi persoalan.

Mengikut laporan, Indonesia dikatakan telah memberi amaran kemungkinan membatalkan pembelian pesawat Airbus jika EU meluluskan usul tersebut.