Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, tahun lalu sahaja, eksport produk plastik meningkat kepada RM13.1 bilion berbanding RM12.9 bilion pada 2015, manakala import pula mencatat peningkatan daripada RM9.1 bilion pada 2015 kepada RM10 bilion tahun lalu.

Menurut beliau, pelaburan juga menunjukkan peningkatan daripada RM911 juta pada tahun 2015 kepada RM1.55 bilion pada 2016 dengan 46 projek yang diluluskan.

“Ini menunjukkan bahawa industri plastik semakin dinamik dalam sektor perkilangan negara dan kini mampu menjadi pengeks­port utama yang mampu menyumbang kepada pembangunan aktiviti pemprosesan plastik.

“Bagaimanapun, kita me­nyarankan industri plastik supaya lebih inovatif dalam meningkatkan mutu dalam komponen produk plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Plastik Antarabangsa 2017 (MIPC) Kali Ke-8 anjuran Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden MPMA, Datuk Noraini S. Talib; Pengerusi MIPC, Eddie Fong dan Pengarah Eksekutif MIDA, Ahmad Khairuddin A. Rahim.

Dalam pada itu, Ka Chuan berkata, walaupun pihaknya optimis industri plastik akan mencatat peningkatan, harga bahan mentah yang tidak menentu dan kebimbangan terhadap pelupusan plastik menjadi cabaran utama.

“Oleh demikian, kita mahu peserta yang mengikuti persidangan ini mengambil peluang untuk bertukar pandangan antara satu sama lain berhubung penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kita yakin, teknologi pada masa akan datang mampu menghasilkan produk plastik kitar semula untuk plastik pembuatan fabrik yang mampu memberi peluang besar dalam industri plastik,” katanya.