Namun begitu, Ketua Pegawai Operasi MAB, Kapten Izham Ismail menegaskan perkara ber­ke­naan bukanlah penghalang kepada MAB untuk kembali mengecapi kegemilangan melalui penstrukturan semula yang telah dilaksanakan sejak 2015.

Menurutnya, MAB juga melihat peluang yang lebih luas dalam rantau Asia Pasifik terutama China yang mempunyai potensi besar bagi menjamin pertumbuhan yang lebih mapan.

“Kami juga yakin pasaran Asia Tenggara akan tumbuh dengan pesat sekali gus memberi lebih keuntungan kepada kami tahun hadapan.

“Walaupun mencabar namun saya merasakan tahun hadapan bakal menjadi tahun yang menarik kepada penumpang di rantau ini kerana banyak syarikat penerbangan bergerak lebih agresif sama ada mendapatkan pesawat, mengumumkan laluan baharu atau memberi lebih ba­nyak tawaran istimewa,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media Malaysia ke Pusat Latihan Asia Airbus (AATC) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar AATC, Kapten Yann Lardet.

MAB akan mula menerima enam pesawat Airbus A350 XWB melalui perjanjian pajakan deng­an Air Lease Corporation dengan dua daripadanya diterima pada penghujung tahun ini dan baki empat lagi pada suku kedua 2018.

Dalam pada itu, Lardet berkata, AATC yang terletak di Taman Aeroangkasa Seletar di sini bakal menjadi pusat latihan kru penerbangan terbesar Airbus mengatasi pusat latihan di Toulouse, Miami, Beijing dan Mexico City apabila siap sepenuhnya menjelang 2019.

Katanya, kemudahan seluas 9,250 meter persegi berkenaan menawarkan kursus latihan bagi kesemua jenis pesawat Airbus dengan ketika ini mempunyai enam simulator penuh penerba­ngan merangkumi dua A330, dua A350 XWB, satu A380 dan satu A320.

“Perancangan sedang dilakukan bagi menambah dua lagi simu­lator iaitu satu A320 dan satu A350 yang akan siap dipasang dalam 18 bulan akan datang,” katanya. – utusan

“Kami yakin AATC akan dapat menampung permintaan yang semakin meningkat terutama dalam rantau Asia Pasifik melibatkan penggunaan pesawat yang akan meningkat kepada kira-kira 17,000 pesawat untuk 20 tahun akan datang berbanding hanya 6,100 pesawat ketika ini,” katanya. – UTUSAN