Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, beliau teruja dengan perubahan landskap politik negara dan optimis lebih banyak potensi serta manfaat akan dapat dicapai oleh pemain industri.

Jelas beliau, perjuangan untuk mendapatkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang rendah dan terminal tambang murah di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching akan diteruskan.

“Dengan wujudnya perseki­ta­ran seperti ini AirAsia X (AAX) boleh beroperasi di sana,” katanya dalam majlis Sambutan Setengah Bilion Tetamu Air­Asia di sini semalam.

Yang turut hadir, CEO Air­Asia X, Benyamin Ismail dan CEO AirAsia Thailand, Santisuk Klongchaiya.

Dalam pada itu, Tony berkata, AirAsia meraikan kejayaan menerbangkan 500 juta tetamu ke lebih 130 destinasi sejak memulakan operasinya 16 tahun lalu.

Menurut Tony, pencapaian hebat itu bermula dengan dua buah kapal terbang dan 200 pekerja dan kini AirAsia boleh berbangga apabila memiliki lebih 200 buah pesawat serta lebih 20,000 pekerja.

Katanya, jumlah setengah bilion bukan nilai yang kecil kerana ia mewakili 16 kali ganda populasi rakyat Malaysia atau kira-kira 80 peratus dari jumlah penduduk ASEAN.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada memori dan pengalaman terbaik tetamu apabila terbang bersama AirAsia. Impak positif turut dirasai oleh negara terutama dalam sektor pelancongan dan penciptaan peluang pekerjaan baharu.

“Kami telah memilih Dr. Panut Oprasertsawat sebagai te­tamu ke-500 juta apabila beliau terbang dari Phuket ke Bangkok Don Mueang pada 18 Mac lalu,” ujarnya. – Utusan