Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di sebuah hotel di sini hari ini.


Bertemakan ‘Advancing the Health of a Forward Moving Nation’, buku itu menyorot pelbagai statistik yang dikemas kini serta penemuan-penemuan terbaharu, pencapaian dan kejayaan usahasama yang dicapai berkaitan pihak berkepentingan utama dalam polisi penjagaan kesihatan di Malaysia.


Presiden PhAMA, Chin Keat Chyuan berkata, pertumbuhan industri farmaseutikal bergantung kepada usaha semua pihak berkepentingan utama dan mempunyai kesan positif terhadap keseluruhan ekonomi.


“Melalui edisi kedua Buku Fakta Industri PhAMA, kami menonjolkan industri farmaseutikal Malaysia yang berkembang maju yang kini diwakili lebih 445 syarikat termasuk beberapa syarikat farmaseutikal terbesar dunia.


“Kesemua syarikat ini telah sama-sama menyumbang terhadap nilai pasaran industri farmaseutikal sebanyak RM7.5 bilion setakat suku ketiga 2018,” katanya berucap pada majlis pelancaran itu.


Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.


Keat Chyuan berkata, tulang belakang industri adalah keupayaan dalam bidang pembangunan penyelidikan (R&D) .


“Keupayaan itu membolehkan industri melakukan inovasi, lebih memahami vektor penyakit dan menyediakan solusi pencegahan rawatan,” katanya.


Menurut beliau, setakat ini ahli PhAMA telah mendaftar dan melancarkan sebanyak 247 ubat-ubat inovatif.


“Dijangkakan sebanyak 156 lagi produk dalam kategori sama akan diperkenalkan sehingga 2022, tambahan kepada 73 produk yang dilancarkan antara 2013 hingga 2016,” katanya. - UTUSAN ONLINE