Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, Industri 4.0 penting supaya pemain industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini kekal bersaing dan terus berkembang.

Bagaimanapun kata beliau, pusat-pusat penyelidikan di seluruh dunia kini berhadapan dengan masalah pemotongan ba­jet termasuk SIRIM.

“Persaingan kini melalui tek­nologi dan inovasi, dan dasar menggunakan buruh asing untuk mengurangkan kos tidak lagi praktikal kerana mendatangkan keburukan dalam masa panjang.

“Atas sebab itu pentingnya industri 4.0 dan kita kini menggalakkan dana swasta untuk membiayai penyelidikan bagi memastikan kita tidak ketinggalan,” katanya dalam Forum Meneroka Teknologi & Inovasi di sini hari ini yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Turut hadir Presiden Global Research Alliance (GRA), Dr. Ramesh Mashelkar.

Ahli panel lain seminar tersebut ialah Naib Presiden Eksekutif Fraunhofer-Gesellschaft, Jerman, Prof. Dr Alfred Gossner; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Danish Technological Institute (DTI) Denmark, Soren Stjernqvist; Presiden Global Research Alliance, Dr. Ramesh Mashelkar.

Pengurus International Relation VTT Technical Research Centre of Finland Ltd, Finland, Jari Uotila; Saintis Utama, International S&T Affairs Directorate Council of Scientific and Industrial Research (CSIR) India, Dr. Anuradha Madhukar; Pengurus Besar, dan Commercial Gover­nance Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CISRO) Australia, Laurence Street.

Mengulas tentang forum itu, Ahmad Fadzil berkata, acara itu dianjurkan bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan GRA 2017 di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 5 Mei ini yang dihoskan oleh SIRIM.

Katanya, lebih 200 usahawan PKS serta ahli akademik dari institut penyelidikan dan jabatan kerajaan didedahkan dengan ilmu teknologi dan inovasi terbaharu daripada GRA yang mempunyai akses kepada lebih 60,000 penyelidik di seluruh dunia.

“Sebanyak tujuh institut penyelidikan terkemuka dunia yang juga ahli GRA telah berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam membangunkan industri PKS melalui perkembangan teknologi dan inovasi terkini.

Menurut Ahmad Fadzil, SI­RIM komited untuk membantu industri dan PKS melonjakkan produktiviti dan pengetahuan mereka di dalam industri melalui teknologi baharu.

“Melalui komitmen yang diberikan oleh GRA, SIRIM akan menggerakkan kerjasama antarabangsa bagi mendapatkan dana pembiayaan penyelidikan awam dan swasta sedia ada untuk menggerakkan inovasi teknologi global yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia.

“Justeru, saya menggalakkan peserta forum mengambil ke­sempatan dan memanfaatkan peluang ini dari sudut sains dan teknologi untuk bergerak ke arah pelaksanaan sebenar Industri 4.0,” ujarnya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, dengan situasi pasaran ketika ini, pemain industri terutamanya PKS perlu me­ngubah cara mereka menjalankan perniagaan dan lebih proaktif de­ngan melebarkan rangkaian serta kerjasama mereka.

“Seperti yang kita tahu, teknologi digital telah mengubah dunia industri dan pembuatan.Penumpuan kini diberikan kepada Internet of Things (IoT) atau Internet Saling Berhubung, automasi dan kilang pintar yang menjurus kepada Industri 4.0.

“Kementerian dan agensi ke­rajaan akan sentiasa membuka jalan untuk membina asas yang akan membawa negara ke arah ekonomi dipacu oleh teknologi atau Industri 4.0,” ujarnya.