Sektor perbankan Indonesia berada di dalam keadaan lebih baik berbanding semasa krisis kewangan serantau Asia 1997-98, dan telah mempamerkan ketahanan di sebalik nilai rupiah yang lemah tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Indonesia Deposit Insurance Corp. (LPS), Fauzi Ichsan.

“Konsolidasi akan menjadi sesuatu yang bagus dan dengan rupiah lemah, ia akan menjadi lebih murah bagi pelabur glo­bal untuk membeli bank-bank kami,’’ kata Fauzi semasa ditemuramah minggu lalu.

Walaupun selepas beberapa penggabungan baru-baru ini, Indonesia masih mempunyai 115 bank konvensional dan Syariah, dan hampir 1,800 pemin­jam di kawasan pedalaman, memberi khidmat di seluruh kepulauan Indonesia untuk lebih daripada 260 juta penduduknya, menurut data Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewa­ngan negara itu.

Ketika kerajaan semakin terbuka kepada cadangan pengambilalihan asing, bank-bank Je­pun terutamanya telah me­ningkatkan usaha, dengan Mitsubishi UFJ Financial Group Inc. dan Sumitomo Mitsui Financial Group Inc. mengumumkan rancangan untuk menguasai kepentingan bank rakan kongsi tempatan.

Sementara itu, Australia & New Zealand Banking Group Ltd. kembali mencuba menjual kepentingannya di dalam PT Bank Pan Indonesia, menurut sumber yang rapat dengan urus niaga itu minggu lalu. – AGENSI