Reserve Bank of India menaikkan kadar pinjaman untuk bank komersialnya kepada 7.25 peratus dan menaikkan kadar bayaran bank untuk deposit kepada 6.25 peratus.

''Lonjakan inflasi sepatutnya menjadi keutamaan berbanding pertumbuhan, walaupun ia memberikan kejutan jangka pendek seperti pertumbuhan perlahan,'' kata Gabenornya, Duvvuri Subbarao selepas mesyuarat pembuat polisi di Mumbai.

''Kadar inflasi semasa telah memberikan risiko kepada pertumbuhan masa hadapan. Oleh itu, menurunkan kadar tersebut walaupun terpaksa berhadapan dengan pertumbuhan perlahan adalah satu tindakan wajar,'' katanya.

Indeks penanda aras Sensex menjunam 1.08 peratus atau 205.23 mata kepada 18,729.79 selepas pengumuman itu.

Langkah bank pusat itu adalah selepas ekonomi-ekonomi Asia dari Korea Selatan, Indonesia, Taiwan dan China berhadapan dengan tekanan inflasi.

Mesyuarat itu diikuti dengan data yang menunjukkan inflasi tahunan telah melonjak kepada 8.98 peratus pada Mac berbanding 8.31 peratus pada bulan sebelumnya.

''Kami menjangkakan inflasi kekal pada paras tinggi pada separuh pertama tahun ini sebelum menyederhana,'' kata Subbarao.

Bank pusat itu, sebelum ini telah menaikkan kadar secara perlahan-lahan, suku peratusan bagi meminimumkan kesan pertumbuhan tetapi kali ini bertindak dengan berani.

''Langkah tersebut adalah wajar. Tekanan inflasi masih tinggi,'' Menteri Kewangan, Pranab Mukerjee memberitahu pemberita. - AFP