Menurutnya, walaupun perolehan penumpang bagi setiap kilometer berkembang sebanyak 4.6 peratus berbanding Januari 2017, prestasi bulan itu terjejas akibat faktor seperti tempoh Tahun Baharu Cina lebih lewat pada pertengahan Februari serta perbandingan kurang menarik dalam aliran peningkatan trafik pada akhir 2016 sehingga awal 2017.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, walaupun permulaan 2018 itu lebih perlahan, namun momentum ekonomi sebaliknya menyokong kepada pe­ningkatan permintaan penum­pang pada tahun ini.

“Berdasarkan faktor itu, kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya perang dagangan membabitkan Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberi kesan serius terhadap keyakinan pasaran global serta mempengaruhi permintaan untuk perjalanan udara,” katanya.

IATA turut mengunjurkan, impak tempoh perjalanan berkaitan Tahun Baharu Cina yang lebih lewat pula mewakili dua perlima daripada pertumbuhan perlahan tahun ke tahun yang dicatat pada Januari lepas.

Bagi tempoh sama, jumlah tempat duduk sedia ada bagi setiap kilometer meningkat sebanyak 5.3 peratus, manakala faktor mu­a­tan merosot setengah mata peratusan kepada 79.6 peratus.

Pertumbuhan bagi permintaan penumpang antarabangsa juga berkurangan kepada 4.4 peratus berbanding 6.1 peratus pada Di­sember 2017.

Kawasan yang mencatatkan pertumbuhan didahului oleh Amerika Selatan dan Eropah manakala kapasitinya meningkat sebanyak 5.3 peratus dan faktor muatan susut sebanyak 0.7 peratus kepada 79.6 peratus.

“Asia Pasifik merekodkan pe­ningkatan permintaan sebanyak 4.6 peratus berbanding Januari 2017 iaitu terendah dalam tempoh 46 bulan terutamanya disebabkan oleh impak tempoh Tahun Baharu Cina yang lebih lewat.

“Kapasiti meningkat sebanyak 6.1 peratus manakala faktor muatan pula berkurangan 1.2 mata peratusan kepada 80.4 peratus,” katanya.

Pasaran penumpang domestik sebaliknya meningkat sebanyak 5.1 peratus bagi tahun ke tahun, namun berkurangan daripada pertumbuhan 7.0 peratus pada Di­sember 2017 dan kapasitinya menokok 5.3 peratus manakala faktor muatan susut 0.2 mata peratusan kepada 79.8 peratus. – BERNAMA