Timbalan Presidennya, Datuk Khor Chap Jen berkata, kedua-duanya adalah dua skim yang berbeza dengan P2P adalah inisiatif yang digerakkan kerajaan ketika pembentangan Belanjawan 2019 manakala FundMyHome adalah inisiatif di bawah entiti swasta yang dipelopori, EdgeProp.my.

Katanya, bagi P2P, pihaknya masih menunggu mekanisme dan kaedah yang terperinci daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) memandangkan ia belum dilaksanakan lagi.

“Tetapi berbeza dengan FundMyHome, ia melibatkan pembeli rumah pertama sahaja dengan harga di bawah RM500,000. Setakat ini, difahamkan, sebanyak sembilan pemaju dan dua bank terlibat di bawah skim itu.

“Ramai pihak membuat tanggapan bahawa ia adalah skim yang sama tetapi sebenarnya adalah berbeza,” katanya selepas Persidangan Hartanah REH­DA Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perumahan, Pembangunan Pe­ng­urusan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha dan Pengerusi REHDA Selangor, Zulkifly Garib.

Pada persidangan itu yang dihadiri lebih 200 peserta, REHDA Selangor turut melancarkan laman webnya yang menyediakan maklumat terkini dan perkembangan dalam industri hartanah.

FundMyHome.com telah dilancarkan 4 November lalu dan portal hartanah, EdgeProp.my selaku penyelaras mekanisme berkenaan.

P2P adalah inovasi pertama di dunia diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 2 November lalu. Rangka kerja pendanaan ramai hartanah tersebut dijangka berkuat kuasa pada suku tahun pertama 2019.

Sebagai sebahagian daripada proses, SC akan melibatkan pihak berkepentingan yang berkaitan melalui rundingan industri sebelum mengeluarkan peraturan tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar itu juga, kerajaan nege­ri Selangor dan REHDA Se­langor mencapai kata sepakat mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai mekanisme kerangka kerja P2P sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurut Haniza, kerajaan ne­geri komited untuk mencari formula terbaik dalam menyelesaikan isu rumah mampu milik dan terbuka kepada sebarang cadangan yang boleh memberi kebaikan kepada golongan B40 dan M40.

“Bagi pihak kami, setakat ini kami menerima tiga kertas cadangan berhubung pembiayaan akhir dan hanya akan membuat keputusan selepas menyemak semua cadangan ini.

“Dalam masa sama, kami juga mengalu-alukan cadangan REHDA Selangor untuk mewujudkan pasukan petugas khas terdiri daripada wakil pelbagai pihak berkepentingan untuk mengkaji faktor yang memberi kesan kepada kos dan harga rumah di Selangor,” katanya.

Beliau memberitahu, Pelan Struktur Selangor 2035 menjangkakan Selangor memerlukan 600,000 buah rumah sehingga 2035 dengan purata 40,000 buah rumah setahun.