Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. K. Sittampalam berkata, HSSI dilantik oleh MRT Corp dan kerja-kerja sudah bermula dari 6 Mac 2018 menerusi penugasan rentas pekerja daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, dengan peranan sebagai ICE bagi laluan MRT2 Sungai Buloh-Serdang Putrajaya (SSP), MRT3 Circle Line kali ini akan menyaksikan peranan petugas JKR akan dipertingkatkan.

“Projek yang dijangka siap pada 2026 diunjur dapat memberi sumbangan positif kepada prestasi kumpulan bagi tahun kewa­ngan berakhir 31 Disember 2018 hingga 31 Disember 2026.

“Skop kerja HSSI bagi laluan MRT2 SSP talian dijangka siap pada suku kedua 2022,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kontrak yang baharu dimenangi itu tidak lama selepas penyelesaian proses pengambilalihan SMHB Engineering Sdn. Bhd., firma perundingan pengurusan dan projek perundingan, khusus dalam industri air pada 28 Mac 2018.

Menerusi kontrak berkenaan serta projek dari SMHB Enginee­ring, ia menjadikan nilai perolehan projek semasa kumpulan kepada RM962.5 juta.

Ujar beliau lagi, HSS Engineers akan terus memainkan peranan penting dalam projek pengangkutan utama negara yang akan menjadi tulang belakang pengangkutan bandar di Lembah Klang.

“Mandat baharu ini mendorong kami untuk terus mendukung piawaian bertaraf dunia untuk MRT3.

“Kontrak itu mencerminkan keyakinan MRT Corp dalam ke­upayaan kami untuk melaksanakan peranan ICE berdasarkan prestasi syarikat bagi laluan MRT2 SSP dan MRT1 SBK,” tambahnya.