Laporan Straits Times di Si­ngapura yang memetik Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Vivian Balakrishnan berkata, kerajaan Singapura telah mengemukakan nota diplomatik kepada Malaysia meminta penjelasan mengenai isu berkenaan.

Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Mei lalu yang mahu projek itu ditangguhkan.

Menurut laporan tersebut, Balakrishan berkata demikian di Parlimen sebagai menjawab persoalan daripada ahli parlimen mengenai hubungan antara Si­ngapura dan Malaysia.

“Kami menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan Malaysia dalam nota yang telah diberikan kepada mereka.

“Sama ada Malaysia yang menyebabkan projek itu diberhentikan, kami akan menilai berapa jumlah pampasan daripada kerajaan Malaysia sejajar dengan perjanjian yang dimeterai dan juga undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan Singapura mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dana awam dalam menangani kos ini,” katanya dalam laporan berkenaan.

Pada 28 Mei lalu, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan telah mem­buat keputusan akhir untuk membatalkan projek HSR kerana tidak memberi manfaat serta me­libatkan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, dalam wa­wan­cara bersama Nikkei Asian Review pada 13 Jun lalu, beliau dilaporkan berkata, projek HSR ha­nyalah ditangguhkan, bukan­nya dibatalkan sebagaimana diputuskan sebelum ini.