Pengarah Eksekutif Hospital KPJ Malaysia Timur, Mah Lai Heng berkata, ia sejajar dengan matlamat kerajaan Sabah untuk menjadikan sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan sebagai pemacu ekonomi negeri itu sekali gus sebagai destinasi kesihatan pelancongan.

Menurutnya, menerusi dua hospital yang dimiliki KPJ, ia mampu menjadi peneraju kepada hasrat tersebut kerana perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan adalah berkualiti tinggi.

“Kami berhasrat menjadi pe­ne­raju dalam bidang kesihatan pelancongan sekali gus sebagai pelengkap kepada produk pelancongan di Sabah.

“Oleh itu, kami giat mempromosi perkhidmatan yang ditawarkan di kedua-dua hospital ini selain layanan terbaik untuk pe­langgan mendapatkan rawatan.

“Apa yang kami usahakan ini bukan saja untuk kedua-dua hospital di bawah KPJ di Sabah, malah untuk membantu sektor pe­­lancong­an kesihatan di negeri ini yang memiliki beberapa kemudahan perubatan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama media yang dihadiri pengamal media di Sabah di Hospital Pakar KPJ Sabah di sini hari ini.

Lai Heng menambah, pihak­nya juga giat melakukan jelajah ke daerah-daerah di negeri ini bagi memberi kesedaran kepada masyakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

“Kami berbesar hati untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penjagaan kesihatan sejajar dengan misi Hospital KPJ tahun ini iaitu Tahun Kesedaran Kanser 2017,” katanya.

Dalam pada itu, Lai Heng berkata, pihaknya akan memperkenalkan kad penjagaan atau care card kepada pelanggannya tidak lama lagi.

Katanya, kad itu antara lain memberi manfaat serta bantuan khusus daripada kakitangan hospital berkenaan kepada pelanggan untuk mendapatkan apa saja perkhidmatan tambahan, selain diskaun bagi produk-produk tertentu.