Sesi itu yang disertai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, matlamat EU dalam perkara itu tidak jelas dan sentiasa mencipta pelbagai alasan termasuk isu berkaitan orang utan, nutrisi dan kemudiannya membangkitkan semula mengenai syarat-syarat tanaman di tanah gambut.

Katanya, secara dasarnya, FGV tidak langsung mempedulikan tentang isu boikot tersebut kerana pasaran terhadap minyak sawit adalah luas dan tidak perlu bergantung kepada negara-negara EU semata-mata dengan kumpulan hanya mengeksport kira-kira dua peratus minyak sawit ke blok ekonomi tersebut.

“Mereka (EU) menyerang kita dalam pelbagai sudut, jadi ini masanya untuk kita serang mereka kembali. Malah, mereka juga tidak profesional kerana menggunakan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mewujudkan kekecohan dan sekatan ini dengan menimbulkan pelbagai alasan yang kadangkala tidak masuk akal.

“Dalam masa sama, sedang kita sibuk mempersoalkan me­ngenai isu kemapanan dalam minyak sawit, kita terlupa betapa ramai pekebun kecil yang sumber rezekinya bergantung kepada hasil minyak sawit,

“Perkara ini saya lalui sendiri, bagaimana saya daripada keluarga miskin dan kemudiannya diberi tanah oleh Felda dengan bergantung pada hasil sawit demi meneruskan kehidupan sehari­an. Di FGV juga, dua pertiga hasil minyak sawit datangnya daripada pekebun kecil yang meletakkan kami sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia,” katanya dalam sesi berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jualan Lipidos Santiga S.A., Jose Angel Olivero; Naib Presiden Perolehan Komoditi dan Bahan Unilever Asia Private Limited, Amit Mohta, Naib Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantation Bhd., Datuk Carl Bek-Nielsen dan pengarah bebas IJM Plantations Bhd., M. R. Chandran.

Menurut Zakaria, FGV akan memberi tumpuan kepada pasaran baharu terutama Pakistan dan Myanmar yang permintaan terhadap minyak sawit semakin meningkat di samping pasaran terbesar iaitu China, India dan ASEAN.

“Mengenai langkah India meningkatkan cukai import bagi minyak sawit mentah dan ditapis, ia tidak memberi kesan yang besar kepada FGV kerana kami mempelbagaikan pasaran. Untuk tempoh sementara mungkin ada kesan tetapi ia tak mungkin berpanjangan,” katanya.

Dalam ucaptama POC2018, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, Malaysia tidak mahu `perang dagangan’ dengan EU berkaitan isu tersebut memandangkan menerima banyak sokongan daripada negara utama EU termasuk Sepanyol, Perancis, Sweden, United Kingdom dan Belanda.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Berhad, Datuk Carl Bek-Nielsen berkata, dalam tempoh 25 tahun, beliau tidak pernah menyaksikan sebarang tanaman pertanian dikecualikan seperti yang berlaku kepada minyak sawit sejak enam bulan lalu.

Katanya, sudah tiba masanya, EU perlu peka kepada perkara tersebut dan ia juga satu perlanggaran di bawah Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO).