ARB, syarikat milik penuh kerajaan, mempunyai peng­alaman dan kepakaran selama lebih 90 tahun dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dalam hal penu­lisan, penyimpanan wasiat dan pelaksanaan wasiat.

Pengarah Urusan Kum­pu­l­an ARB, Adenan Md. Yusof berkata, ramai rakyat Malaysia memiliki persepsi negatif terhadap ARB yang beranggap­an harta pusaka akan beku di bawah pengurusan ARB.

Katanya, persepsi itu ter­nya­ta salah kerana ARB kadang-kala memerlukan masa yang lebih lama berbanding tempoh purata tiga bulan untuk meng­agihkan harta berikutan beberapa halangan.

Jelas beliau, halangan itu antaranya disebabkan oleh pemilik harta yang tidak menyenaraikan wasiat mereka.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab kami untuk mencari pewaris bagi harta pusaka itu supaya ia disalurkan kepada mereka yang benar-benar berhak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017.

ARB merupakan antara pihak yang mempunyai bidang kuasa dalam mengeluarkan surat kuasa dan mengendalikan pembahagian harta pusaka. Sehingga 31 Mac lalu, aset yang diuruskan ARB bernilai RM7 bilion termasuk pusaka.

Syarikat itu yang ditubuhkan pada 1921 sentiasa komi­ted mendidik masyarakat di Malaysia secara berterusan mengenai kepentingan peran­cangan pewarisan juga bagi menangkis tanggapan sesete­ngah pihak mengenai kepinca­ngan instrumen berkenaan.

Tambah Adenan, ARB bukan sahaja mendidik masyarakat mengenai kepen­tingan perancangan pewarisan bahkan turut berusaha gigih menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap dan memudahkan pelanggan.

Katanya, penulisan wasiat bukanlah satu matlamat akhir, malah dengan wasiat ia bakal memudahkan urusan pentadbiran dan juga pembahagian harta pusaka.

“Malah, bayaran yang dikenakan oleh ARB bagi meng­u­ruskan harta pusaka ini adalah rendah iaitu pada kadar purata dua hingga 2.5 peratus.

“Semua jenis harta yang dimiliki oleh individu boleh diwasiatkan sama ada harta alih atau harta tidak alih. Harta alih adalah seperti akaun bank, saham, kenderaan, emas, insurans, saham perniagaan dan lain-lain, manakala Harta tidak alih adalah seperti tanah, rumah dan bangunan,” katanya.