Penanda aras dagangan hadapan minyak mentah Brent turun 18 sen atau 0.3 peratus kepada AS$51.19 (RM219.17) setong pada sesi dagangan hari ini selepas susut 0.1 peratus dalam sesi sebelumnya.

Selain itu, dagangan hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) WTI turut susut 13 sen atau 0.3 peratus kepada AS$49.25 (RM210.96) setong, selepas merosot 0.4 peratus semalam.

Pengeluaran lapangan minyak Sharara di Libya kembali normal selepas gangguan sementara apabila penunjuk perasaan bersenjata memasuki bilik kawalan di bandar Zawiya, menurut Perbadanan Minyak Nasional (NOC) negara berkenaan.

Lapangan itu mengeluarkan kira-kira 270,000 tong sehari, mewakili satu perempat pengeluaran negara terbabit yang meningkat kepada lebih satu juta tong sehari pada Jun daripada 200,000 tong tahun lalu.

Libya bagaimanapun dikecualikan daripada usaha OPEC dan pengeluar lain seperti Rusia, untuk mengurangkan pengeluaran global bagi meningkatkan kembali harga minyak global.

Pemulihan pengeluaran negara Afrika Utara berkenaan telah merumitkan usaha pertubuhan untuk membendung bekalan, menyebabkan keraguan terhadap keberkesanan pengurangan 
pe­ngeluaran.– Reuters