Pada pagi ini, minyak mentah Amerika Syarikat (AS) diniagakan rendah dengan penurunan sebanyak 97 sen kepada AS$27.49 (RM120.35) setong sebelum ditutup dengan penurunan 96 sen pada sesi sebelum ini, manakala harga minyak Brent pula menurun 61 sen kepada AS$28.15 (RM123) setong sebelum ditutup dengan penurunan 21 sen pada sesi sebelum itu.

Sehingga petang ini, harga minyak West Texas Intermediate (WTI) mengukuh sedikit kepada AS$28.46 (RM124.36) setong manakala Brent pula AS$28.76 (RM125.67) setong.

Di sebalik kebimbangan wujudnya lebihan bekalan di peringkat global, Agensi Tenaga Antarabangsa sebelum itu telah memberi amaran kepada negara-negara perindustrian berhubung dasar tenaga bahawa pasaran minyak boleh ‘ditenggelami dengan lebihan bekalan’ pada tahun ini.

Ketua Pegawai Penganalisis Kewangan Ayers Alliance, Jonathan Barratt menyifatkan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bergelut dengan keadaan yang sukar apabila harga minyak mencecah paras terendah dan memaksa mereka menjual minyak bukan atas dasar keuntungan tetapi bagi memastikan berlakunya aliran tunai.

“Pengeluar AS bagaimanapun masih bertahan tetapi saya berpendapat mereka juga menerima kesan yang sama,” katanya kepada Reuters.

Harga minyak dunia kini didagangkan rendah, merosot lebih 70 peratus daripada sekitar AS$110 (RM483) setong pada pertengahan 2014.

Pada Sabtu lalu, pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan Iran telah mematuhi komitmennya untuk menghentikan program nuklear dan serentak dengan itu AS terus menghentikan sekatan yang selama ini menjejaskan aktiviti eksport minyaknya.

Ketua Strategi Pasaran CMC Markets, Michael McCarthy berkata, pasaran telah mengambil kira 500,000 tong setiap hari minyak Iran yang dijangka akan menambah pengeluaran global.

Stok simpanan minyak mentah komersial AS mengunjurkan ia akan meningkat tiga juta tong minggu lalu, berdasarkan tinjauan Reuters yang dibuat lebih awal daripada data inventori mingguan.

Pemerhati pasaran dan penganalisis pula berpendapat, ruang simpanan yang mencukupi untuk minyak mentah di seluruh dunia termasuk 230 juta tong simpanan baharu yang akan siap tahun ini akan membantu mengatasi kejatuhan harga secara mendadak. – Reuters