Harga minyak mentah Brent diniagakan pada AS$82.14 (RM340) setong, naik 0.9 peratus berbanding semalam, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS, berada pada paras AS$72.35 (RM299.55) setong.

Para pedagang berkata, pasaran minyak sebelum ini agak meruncing sebelum Washington bercadang mengenakan sekatan ke atas industri petroleum Iran berkuat kuasa 4 November ini.

Bagi tahun ini, Iran mengeks­port kira-kira tiga juta tong sehari minyak mentah, bersamaan tiga peratus daripada penggunaan global dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Pe­tro­leum (OPEC) mempunyai kapasiti yang sedikit bagi menampung kekurangan yang diharapkan daripada eksport Iran.

Mencerminkan jangkaan bekalan yang lebih rendah dari Asia Barat, niaga hadapan mi­nyak mentah Oman di Dubai Mercantile Exchange naik ke paras tertinggi dalam empat tahun pada hari Rabu, melebihi AS$90 (RM372.62) setong.

“Harga minyak kekal tidak menentu di tengah-tengah kebimbangan sekatan AS ke atas eksport minyak mentah Iran yang akan mengakibatkan kea­daan pasaran fizikal yang lebih ketat setelah ia berkuat kuasa pada November.

“Pasaran masih boleh memandang remeh krisis bekalan daripada sekatan Iran,” kata Ketua Perdagangan OANDA, Stephen Innes.

“Walaupun pasaran minyak global semakin perlahan, bekalan di AS adalah mencukupi, susulan peningkatan pengeluarannya.

Pengeluaran minyak mentah AS mencatat rekod 11.1 juta tong sehari dalam minggu yang ber­akhir pada 21 September, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).

Ia merupakan peningkatan hampir satu pertiga sejak pertengahan 2016. – REUTERS