Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, selain itu, Bank Dunia menjangkakan ekonomi global berkembang antara 3.7 hingga 3.8 peratus tahun ini yang pastinya akan terus memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia.

“Ini secara tidak langsung menjadikan mata wang tempatan terus menunjukkan momentum yang stabil didorong oleh prestasi eks­port, yang meningkat 20.2 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2017 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Apa yang kita nampak hari ini adalah kesan positif ekonomi yang berlaku di dalam negara kita dan juga ekonomi global yang turut memberi manfaat kepada perkembangan eksport,” katanya selepas majlis pelancaran Daftar Pengurus Harta Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Nordin Daharom.

Jumaat lalu, ringgit mencatat paras terbaik sejajar dengan kenaikan harga minyak global yang merupakan pendorong utama permintaan ke atas nota tempatan. Ringgit meningkat 100 mata asas atau 0.25 peratus ketika ditutup Jumaat lalu berbanding RM4.0050 pada Khamis.

Untuk rekod, pada Rabu lalu ia juga menyaksikan harga minyak mentah diniagakan pada paras melebihi AS$67 (RM267.83) setong iaitu paras tertinggi sejak 2015.

Petang ini, ringgit ditutup pada RM3.9850 berbanding dolar AS berbanding semalam pada RM4.0033. Ringgit turut ditutup 0.23 peratus lebih tinggi berban­ding dolar Singapura pada kadar RM2.9913.

Semalam harga minyak West Texas Intermediate (WTI) ditutup AS$63.67 (RM254.08) setong, tertinggi sejak 9 Disember 2014 manakala Brent pula melonjak kepada AS$69.37 (RM276.83) setong, iaitu 30 sen (RM1.20) lebih tinggi yang dicatatkan pada Mei 2015.

Setakat petang ini, WTI men­cecah AS$63.81 (RM254.43) setong manakala Brent pula AS$69.34 (RM276.48) setong.

Berdasarkan nota kajian MIDF Research sebelum ini, penyusutan ringgit didorong oleh kejatuhan harga minyak global seperti yang berlaku pada April 2011, apabila ia menyusut daripada setinggi AS$125.90 (RM 503.29) setong kepada serendah AS$35 (RM139.91) setong pada Januari 2016.

Menurut firma penyelidikan itu, dalam tempoh 2006 hingga 2013, purata hasil minyak adalah 35 peratus kepada pegangan Kerajaan Persekutuan manakala kira-kira 11.4 peratus daripada jumlah eksport merupakan produk berkaitan petroleum.

“Oleh itu, penurunan harga minyak mentah akan memberi kesan negatif kepada penyusutan nilai ringgit, penurunan hasil kerajaan dan eksport. Dalam tempoh antara Ogos 2014 hingga Januari 2016, apabila minyak mentah jatuh daripada AS$103.2 (RM412.54) setong kepada AS$34.7 (RM138.71) setong, nilai ringgit juga menyusut daripada RM3.15 kepada RM4.15 berbanding dolar AS.

“Ini membuktikan susut nilai ringgit didorong terutama­nya oleh kejatuhan mendadak dalam harga minyak mentah melalui saluran perdagangan dan aliran modal,” jelas firma itu.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan mengenakan cukai ke atas platform digital, Johari berkata, kerajaan masih menunggu reaksi daripada negara-negara yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pemba­ngunan (OECD) mengenai meka­nisme yang boleh dilaksanakan.

“Buat masa ini, kami masih mencari mekanisme yang bersesuaian memandangkan hampir 20 peratus daripada transaksi perniagaan di Malaysia dijalankan menerusi platform digital. Tetapi, yang menjadi masalahnya, terdapat sebahagian syarikat itu bukan berpangkalan di Malaysia.

“Atas sebab itu, kita perlu melihat reaksi dari­pada negara-ne­­gara OECD dan me­­lihat bagaimana mereka menguruskan syarikat-sya­rikat digital ini, termasuk dari aspek mengenakan cukai ke atas mereka,” katanya.