Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) seolah-olah tidak akan membuat perjanjian dengan pengeluar lain untuk mengurangkan lebihan pengeluaran.

Malah, ia meramalkan dunia akan menyimpan minyak yang tidak diperlukan untuk tahun ini memandangkan pengurangan bagi pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS) akan mengambil masa.

Penganalisis bank ANZ menjangkakan akan berlaku lagi ketidaktentuan dalam harga minyak di sebalik kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang kekal tinggi.

Kontrak niaga hadapan bulanan bagi minyak mentah Brent meningkat 75 sen pada AS$31.07 (RM129.33) setong. Brent jatuh dalam empat sesi dagangan semalam secara berturut-turut sebelum berakhir dengan penurunan sebanyak AS$2.56 (RM10.66).

Minyak mentah AS bagi penghantaran Mac pula 58 sen lebih tinggi pada AS$28.52 (RM118.71) setong. Ia jatuh 5.9 peratus dan ditutup AS$1.75 (RM7.28) lebih rendah.

Peningkatan harga minyak itu disokong oleh kenyataan yang dikeluarkan menteri minyak Iran bahawa negara itu bersedia berunding dengan Arab Saudi berhubung situasi semasa dalam pasaran minyak global.

Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) pula merendahkan unjuran pertumbuhan permintaan minyak pada 2016 kepada 110,000 tong sehari berbanding 160,000 tong sehari sebelum ini.

Pelabur minyak akan beralih kepada data inventori mingguan yang dikeluarkan EIA dengan kaji selidik analisis yang dijalankan Reuters menjangkakan 3.6 juta tong stok simpanan minyak mentah meningkat pada minggu lalu.

Kumpulan industri, Institut Petroleum Amerika (API) melaporkan, pada minggu lalu terdapat 2.4 juta tong simpanan minyak mentah AS.– REUTERS