Harga minyak mentah Brent naik 51 sen atau 0.3 peratus paras tertinggi sejak November 2014.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 37 sen atau 0.5 peratus kepada AS$73.62 (RM304.83) setong disokong oleh jumlah pelantar yang tidak stabil, yang menunjukkan penurunan dalam pengeluaran minyak mentah AS.

Dalam pada itu bank ANZ berkata, pasaran menjangkakan harga minyak mentah akan mencecah AS$100 setong.

Terdapat juga jangkaan bahawa China akan mengabaikan sekatan AS, bagaimanapun, Sinopec China telah mengurangkan bekalan mi­nyak mentah dari Iran bulan ini, sebagai tanda ia juga terkesan dengan sekatan Washington.

“Jika pengeluar minyak China mematuhi sekatan AS lebih daripada yang dijangkakan, maka keseimbangan pasaran mungkin lebih ketat,” kata Penganalisis Komoditi Bank Emirates NBD, Edward Bell dalam nota kajiannya di sini hari ini.

Presiden AS, Donal Trump menemui Raja Arab Saudi, King Salman pada Sabtu bagi membincangkan cara bagaimana untuk mengekalkan bekalan secukupnya selepas sekatan ke atas Iran dikuatkuasakan.

“Sehingga bekalan yang mencukupi dapat ditawarkan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), pedagang-pedagang minyak akan terus memastikan bekalan tetap dikeluarkan,” kata Ke­tua Perdagangan Asia Pasifik Oanda di Singapura, Stephen Innes.

Dengan harga minyak melambung tinggi, terdapat kebimba­ngan mengenai kesan inflasi terhadap pertumbuhan permintaan, terutamanya di pasaran baharu muncul di Asia yang mata wang­nya lemah sekali gus terus menambah kos import bahan api yang tinggi.

Selain itu, pertikaian perdaga­ngan antara AS dan kuasa utama lain, terutama China, pertumbuhan ekonomi 2019 yang dijangka suram terus meningkatkan kebimbangan ekonomi global.

Pertumbuhan sektor perkila­ngan China telah merosot pada bulan September susulan permintaan luar dan domestik yang lemah.

Di Jepun, keyakinan perniagaan dalam kalangan pengeluar bertambah buruk pada suku terakhir untuk mencecah paras terendah dalam hampir setahun, memandangkan firma berpendapat kenaikan harga bahan mentah dan keadaan perdaga­ngan global semakin bertambah buruk. – REUTERS