Menurut Gas Malaysia Bhd. (Gas Malaysia), tarif asas bagi tempoh tersebut meningkat kepada RM22.30 untuk setiap juta unit termal British (MMBtu) berbanding RM20.23 sebelum itu.

Katanya, tarif efektif selepas mekanisme kos gas untuk dilepaskan (GCPT) akan menjadi RM23.92.

“Purata tarif asas gas asli ditetapkan pada RM30.90 untuk setiap MMBtu bagi tempoh bermula Januari hingga Jun depan seperti diumumkan Gas Malaysia pada 28 Disember 2016.

“Di bawah mekanisme GCPT pula, bayaran tambahan RM1.62 untuk setiap MMBtu akan diguna pakai kepada semua tarif kategori berikutan peningkatan harga LNG berbanding harga rujukan bagi tarif asas dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan memberi kelulusan kenaikan tersebut dalam surat menerusi SE bertarikh 28 November 2017 bagi membolehkan Gas Malaysia melaksanakan semakan tarif gas asli bagi sektor bukan tenaga.

Pada 28 Disember lalu, Gas Malaysia mendapat kelulusan kerajaan untuk menyemak semula tarif gas asli bagi sektor bukan tenaga di Semenanjung bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019.

Tarif asas purata pada 2019 yang diluluskan ialah RM32.69 MMBtu untuk enam bulan pertama dan RM32.74 bagi enam bulan berikutnya.

Gas Malaysia memberitahu, kerajaan telah menetapkan rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang menetapkan Tarif Asas untuk Tempoh Pengawalseliaan selama tiga tahun mulai Januari 2017 dan membenarkan perubahan dalam kos gas yang akan melalui mekanisme GCPT setiap enam bulan.

Katanya, walaupun semakan tarif itu tidak memberi kesan kepada operasi perniagaan tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Selain sektor bukan tenaga, penggunaan bagi 600 MMBtu setahun juga akan membayar harga gas asli lebih tinggi dalam tempoh tersebut dengan kenaikan RM28.78 untuk setiap MMBtu berbanding RM26.11 sebelum ini. Selepas GCPT, harga tarif ialah RM30.40.