Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pasar Borong Kuala Lumpur, Ho Ah Chai memberi jaminan harga barangan kembali pulih selewat-lewatnya minggu ini selepas pemborong dan peniaga mula mendapatkan bekalan dan menjalankan operasi.

Malah, beliau juga yakin pengguna tidak akan berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan terutama barangan mentah yang sentiasa mencukupi setakat ini.

“Pengguna jangan bimbang, harga mungkin naik sedikit kerana musim perayaan. Ramai peniaga cuti. Harga dijangka pulih pada minggu ini.

“Pengguna sebenarnya boleh mendapatkan barangan di pasar raya yang mempunyai banyak bekalan sejak dari awal lagi,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, peniaga warung dan penjaja mengeluh akibat peningkatan terlalu tinggi harga barangan basah sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memantau harga barangan selepas ini jika masih terdapat rungutan dalam kalangan pengguna.

“Saya yakin segala bekalan cukup setakat ini termasuk bara­ngan basah seperti ikan walaupun cuaca tidak menentu. Tambahan pula tiada faktor-faktor lain yang menyebabkan kenaikan berlaku.

“Kenaikan hanya berlaku sebab ramai peniaga tutup kedai. Oleh itu, jika ada rungutan lagi KPDNHEP perlu bertindak segera,” ujarnya.