Sebelum GST, cukai yang dikenakan ialah cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Pengguna perlu membayar SST melebihi 10 peratus bagi jumlah keseluruhan yang perlu dibayar yang mana SST dilihat agak tinggi dan memberi kesan terhadap kos perbelanjaan pengguna.

Sebagai contoh sebuah kilang mengeluarkan sebuah barang bernilai RM700. Kemudian, dikenakan cukai sebanyak 10 peratus. Jadi, harga barang yang perlu dibayar oleh pemborong ialah RM770.

Kemudian, pemborong akan margin 20 peratus keuntu­ngan atas nilai RM770 tersebut. Maka, harga yang perlu dibayar oleh peruncit ialah RM924. Kemudian, peruncit pula akan menjual kepada pengguna pada harga margin 20 peratus yang menjadikan harganya kepada RM1108.80.

Jika mengikut sistem GST pula, sebuah kilang mengeluarkan sejenis barang bernilai RM700. Kemudian, dikenakan cukai 6 peratus. Jadi, harga barang yang perlu dibayar oleh pemborong ialah RM742.

Kemudian, pemborong akan margin 20 peratus keuntu­ngan atas nilai RM700 tersebut. Maka, harga jualan pemborong kepada peruncit akan menjadi RM840. Cukai yang dikenakan ialah RM50.40 (6 peratus × 840)

Oleh kerana dalam sistem GST, cukai input boleh dituntut, maka di sini pemborong akan offset cukai output dan input. Jadi, jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pemborong ialah RM8.40.

Kemudian, peruncit pun membeli daripada pemborong dengan harga RM840 dan menjualnya kepada pengguna de­ngan margin 20 peratus iaitu pada harga RM1,008. Tambah cukai 6 peratus (RM60.48), maka harga akhir ialah RM1068.48.

Jadi di atas kertas menunjukkan harga barang lebih murah dengan GST, tetapi malangnya rakyat tidak menganggap ia begitu. GST dilihat membebankan apabila setiap barang ditambah dengan GST menyebabkan harga menjadi mahal berbanding SST sebelum ini.

Ini disulitkan dengan kenaikan harga bahan mentah ekoran kejatuhan nilai ringgit serta kos operasi yang bertambah, maka GST perlu dijadikan kambing hitam yang menyebabkan kerajaan BN yang memerintah sejak kemerdekaan pada 1957 tumbang.

GST diperkenalkan disebabkan kerajaan kekurangan hasil akibat kejatuhan harga mi­nyak mentah global sehingga ke paras lebih AS$40 (RM158.62) setong. Justeru kerajaan memerlukan sistem percukaian baharu bagi mengimbangi kejatuhan pendapatan daripada minyak global.

Malaysia mempunyai dua juta pembayar cukai pendapatan, satu jumlah yang kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 30 juta. GST adalah cukai penggunaan yang mana lebih besar berbelanja maka lebih besar nilai cukai yang dikutip.

Menurut Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar pada 7 Mei lalu yang menyifatkan pengembalian SST sebagai suatu langkah ke belakang. Ini kerana kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM42 bilion dan dijangka meningkat kepada RM44 bilion tahun ini berbanding kutipan SST iaitu RM17 bilion pada 2014. Sekira­nya GST dimansuhkan, terdapat kekurangan pendapatan sebanyak RM27 bilion (2 peratus daripada KDNK).

Sekiranya ia berlaku, kerajaan katanya, mempunyai tiga pilihan iaitu, menaikkan cukai pendapatan atau memperkenalkan cukai baharu seperti cukai keuntungan modal (capital gains tax).

Kedua, mengurangkan per­belanjaan termasuk perbe­lanjaan pembangunan. Ini bermakna membatalkan atau menangguhkan projek-projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini atau ketiga, meningkatkan defisit fiskal kepada lima peratus.

Kesemua opsyen tersebut amat berbahaya kerana boleh menjejaskan pasaran modal dan mengakibatkan penarafan kredit hutang antarabangsa negara diturunkan daripada paras A3/A- kepada BBB. Ini sudah tentu akan meningkatkan kos pinjaman dan memudaratkan ekonomi negara.

Apa yang kita harapkan ialah SST akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa yang sama, rakyat sebagai penentu kepada kerajaan akan datang terus menikmati pembangunan seperti pembinaan infrastruktur yang sempurna, kemudahan perubatan yang ditambah baik dan gaji yang lebih tinggi serta rendah inflasi. Marilah kita berdoa.