KUALA LUMPUR 23 Ogos – Kerajaan perlu mempunyai hala tuju yang jelas untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan pelabur dan pemain industri selepas menyaksikan peralihan tampuk pemerintahan lebih tiga bulan lalu.

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, M.Manokaran berkata, dalam masa sama, kerajaan juga harus menyediakan satu kerangka yang jelas bagi pertumbuhan pelaburan swasta di negara ini memandangkan pelabur masih lagi mengambil sikap berhati-hati terhadap pentadbiran kerajaan PH.
Katanya, bagaimanapun, langkah kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) terdiri daripada individu yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi sewajarnya menjadi tarikan kepada para pelabur sekali gus sebagai pemangkin kepada pasaran modal.
“Bagi saya, ini satu langkah bijak yang dibuat oleh kerajaan. Dari satu sudut, saya melihat ia sama seperti apa yang berlaku terhadap prestasi lebihan fiskal pada awal 1990-an yang berupaya meningkatkan sentimen dalam kalangan pelabur terutama pelaburan modal asing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Jumaat lalu menyaksikan genap 100 hari pentadbiran PH yang membentuk kerajaan setelah memenangi PRU-14 dengan majoriti mudah.
Menurut Manokaran, ketika semua pihak cuba membuat penilaian terhadap prestasi 100 hari tersebut, ia secara dasarnya adalah tidak relevan kerana kerajaan mewarisi hutang yang banyak sehingga mencecah RM1.1 trilion daripada rejim Barisan Nasional.
“Kerajaan PH mempunyai banyak idea baharu tetapi sayangnya kekurangan dana. Secara rasional, tempoh yang lebih panjang diperlukan jika mahu menilai prestasi PH yang sama sekali dibarisi muka-muka baharu dan tidak berpengalaman ini.
“Sebagai contoh, selepas memasuki PRU-14, kita melihat berlakunya penyusutan dalam pasaran ekuiti, tetapi sebaliknya ia semakin bertambah baik selepas itu,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi mata wang, beliau berkata, kemenangan tidak dijangka itu menyebabkan ringgit menyusut kepada RM4.05 berbanding dolar AS pada hari yang sama tetapi kembali mengukuh kepada RM3.95 kemudiannya.
Sejak itu katanya, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada purata RM4.05 sepanjang Julai manakala Jun, RM4.00 berbanding dolar AS.
“Setakat ini, ringgit menyusut 1.7 peratus kepada RM4.09 berbanding dolar AS dan menjangkakan ia terus lemah kepada RM4.10 sehingga akhir 2018 sebelum kembali mengukuh kepada RM3.80 pada pertengahan 2019,” katanya.
Jelas beliau, walaupun ringgit mencecah paras paling lemah sejak November 2017, keadaan itu adalah sesuatu yang tidak mengejutkan kerana ringgit akan terdedah kepada sentimen risiko dalam pasaran global terutama ekonomi baharu muncul yang bergantung sebahagian besar kepada hutang dalam dominasi dolar AS.
“Tambahan pula, prestasi mata wang Turki, lira dan kesan yang boleh dilihat berikutan ketegangan antara AS dan China. Namun, saya berpendapat, situasi AS-China ini adalah terurus,” katanya.