Sebagai tambahan, pengusaha minyak juga perlu untuk meletakkan pekerja-pekerja dengan tujuan khas di stesen minyak ma­sing-masing bagi mengesahkan kad yang digunakan pengguna adalah khas untuk kereta yang diberikan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, permohonan kad itu juga perlu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan pemegangnya hanya memiliki sebuah kereta sahaja.

“Contohnya apabila peme­gang kad mengisi minyak, mereka akan bayar harga se­perti biasa, dan kemudiannya akan mendapat rebat mungkin di hujung bulan, atau mereka menerma harga tertentu, jadi tidak perlu untuk bayar penuh.

“Tapi, kena ada pekerja di stesen minyak untuk memastikan kad yang digunakan adalah untuk kereta yang diberikan. Masalah akan timbul sekiranya pemegang kad mengisi minyak untuk kereta lain jika tiada pemantauan.

“Selain itu, permohonan kad juga perlu melalui JPJ kerana jabatan itu sahaja yang mempunyai sistem dan rekod pengguna untuk memastikan mereka hanya memiliki sebuah kereta sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan dalam Belanjawan 2019 mengumumkan untuk menambah baik pemberian subsidi minyak secara bersasar kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Melalui mekanisme tersebut, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

Mekanisme baharu berkenaan dijangka bermula pada suku kedua 2019 dan untuk tujuan itu, RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber di samping membendung ketirisan berikutan perbezaan harga minyak dan penyeludupan rentas sempadan, kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM).

Menurut Nuradli, pemberian subsidi minyak secara bersasar itu secara teorinya adalah bagus, namun usaha untuk mengimplementasinya adalah agak sukar, dan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Inisiatif ini bagus kerana hanya mereka dalam golongan berpendapatan rendah selalunya pakai kereta kecil, jadi ini akan meringankan beban, bagaimanapun, kita perlu menutup lubang-lubang untuk sebarang manipulasi,” ujarnya.