Lorraine Parkin

Menurut Ketua Percukaian APAC Grant Thornton, Lorraine Parkin, berdasarkan laporan dan kaji selidik yang dijalankan, kemasukan pelaburan langsung asing ke Malaysia meningkat tahun lalu meskipun kerajaan telah melaksanakan GST bermula April 2015.

Malah katanya, kejayaan pelaksanaan GST di Malaysia turut menarik minat beberapa buah negara seperti India, China dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang mahu melaksanakan sistem cukai serupa dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi mereka melalui percukaian.

“Pandangan yang mengatakan pelaksanaan GST menyebabkan pelabur asing keluar dari negara ini tidak tepat. Ini kerana, pelaksanaan GST menjadikan sistem cukai di negara ini lebih telus dan ini menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur asing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis pembentangan terkini pelaksanaan GST oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman & GST), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy dan turut dihadiri Pengurus Negara Grant Thornton, Narendra Jasani.

Menurut Parkin, pelaksanaan GST merupakan satu pembaharuan ekonomi yang dibuat oleh kerajaan dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di peringkat global.

“Pelaksanaan GST juga telah menyediakan Malaysia kekuatan dalam menghadapi situasi ekonomi semasa,” katanya.

Jelas beliau lagi, pada masa kini, bagi kebanyakan negara GST lebih popular berbanding cukai langsung untuk menjana perolehan melalui sistem percukaian.

“GST dianggarkan menjana pendapatan percukaian dunia sebanyak 20 peratus dan angka itu dijangka terus meningkat,” katanya.

Perubahan daripada cukai langsung kepada GST telah mengubah pandangan kita kepada sistem cukai itu sendiri. Cukai tidak lagi hanya melibatkan keuntungan, pendapatan dan kekayaan, sebaliknya ia juga membabitkan transaksi, pengeluaran dan pengagihan.

“Dan GST kerap digambarkan sebagai sistem cukai yang `mesra pertumbuhan’ dan berkesan,” katanya.