Selain barangan keperluan, orang ramai turut mengambil kesempatan ini mendapatkan barangan kehendak yang sudah lama diimpikan seperti kereta baharu, barang kemas, telefon pintar mahupun bertindak menyelenggara kenderaan mereka.

Penulis pada Jumaat lalu menghadiri sidang akhbar me­ngenai sifar peratus GST anjuran Habib Jewels Sdn. Bhd. dan mendapati orang ramai sudah membanjiri cawangan kedai barangan perhiasan itu seawal pukul 10 pagi.

Menurut Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Meer Sadik Habib, sejak pengumuman sifar peratus GST pada 16 Mei lalu, diakui terdapat kelembapan jualan berikutan pengguna mengambil pendekatan menung­gu sehingga 1 Jun.

Ya, ternyata harga barangan sememangnya turun justeru mampu mengurangkan beban orang awam terutamanya menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Meskipun begitu, perlu diingatkan bahawa GST yang dikenakan pada kadar sifar pe­ra­tus pada 1 Jun akan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September ini.

Persoalannya, adakah SST akan menjadikan harga bara­ngan lebih murah berbanding sebelum ini (GST pada enam peratus) atau memerlukan pengguna untuk berbelanja lebih?

Apakah itu SST? SST adalah cukai satu aras yang mana cukai ini hanya dikenakan kepada pengilang sahaja dan tidak boleh dituntut. Cukai berkenaan dianggap sebagai kos kepada perniagaan.

Apakah perbezaannya de­ngan GST? GST adalah cukai yang dikenakan kepada pengguna yang menggunakan barang dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian sehingga pengguna.

Secara teorinya, pengenalan semula SST bakal menjadikan harga barangan lebih rendah tetapi terdapat potensi peningkatan harga bagi beberapa barangan, termasuk kos atau caj perkhidmatan yang diberikan.

Ini kerana cukai jualan adalah berdasarkan kos pengelua­ran atau import dan jika cukai jualan itu berdasarkan kadar cukai sebelum ini sehingga 10 peratus, maka harga barang akan turun.

Meskipun begitu, jika rejim cukai itu meliputi pelbagai perkhidmatan yang lebih meluas, mungkin ada harga yang lebih tinggi atau caj bagi perkhid­matan yang diberikan pada keseluruhannya.

SST bukan cukai baharu, ia sudah dilaksanakan sebelum GST pada 2015 dan membabitkan kutipan lebih kecil dari segi sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding GST,

Pada 31 Mei lalu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin memberitahu, kertas cadangan mengenai kaedah pelaksanaan SST akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, sistem SST yang akan diperkenalkan semu­la itu akan mempunyai sedikit pembaharuan untuk menjadikannya lebih cekap dengan matlamat utama untuk menurunkan harga barangan.

Tidak kira kerajaan lama atau baharu, apa yang dimahukan oleh rakyat adalah penurunan harga barang. Sama ada ia menunaikan harapan atau tidak, kita tunggu dan lihat.