Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Khor Chap Jen berkata, langkah terbaharu kerajaan itu dilihat mampu meningkatkan semula sentimen pembeli terutama dalam kalagan golongan muda dan pembeli rumah kali pertama.

“Pasaran hartanah sejak tiga tahun kebelakangan ini sedikit mencabar dan perlahan tetapi kita harap ia berubah selepas pelaksanaan GST pada kadar sifar.

“Kita juga melihat trend spekulator hartanah kian menurun jadi pembeli-pembeli yang membeli hartanah pada ketika ini adalah mereka yang benar-benar mahu membeli rumah,” katanya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) 2018, di sini hari ini.

Chap Jen bekata, masih terdapat permintaan rumah bertanah pada purata harga RM500,000 meskipun berhadapan dengan syarat-syarat pinjaman bank yang lebih ketat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Namun, pihaknya berharap agar perkara itu akan berubah kerana terdapat banyak permohonan dan rayuan kepada Bank Negara khususnya daripada pembeli-pembeli rumah kali pertama.

“Pembeli rumah kali pertama ini kebanyakannya telah mempunyai bebanan lain seperti hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau hutang kenderaan yang menyukarkan mereka membuat pembayaran pendahuluan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan baru-baru ini telah mene­tapkan pembayar hutang hanya boleh mula membayar setelah bergaji RM4,000 dan kita melihat perkara ini semestinya akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembeli rumah dengan memberikan mereka lebih kuasa membeli,” katanya.

Mengulas projek terbaharu, katanya, syarikat itu akan memperkenalkan sebuah projek pembinaan perumahan terbaharu di Bertam, Pulau Pinang yang dinamakan Setia Fontaines pada penghujung tahun ini.

Projek berkenaan akan me­rangkumi keluasan tapak pembinaan 677 hektar dan akan menampilkan dua koleksi kediaman yang menawarkan rumah taman jenis teres tunggal dan teres dua tingkat, kluster, rumah berkembar dan banglo.

“Projek lain yang terletak di dalam Iskandar Malaysia, di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan kerja-kerja pemba­ngunan berterusan yang telah pun kita lancarkan sebelum ini.

“Ini kerana projek-projek perbandaran ini melibatkan kawasan yang besar, jadi pembinaannya dijalankan secara berfasa,” katanya.