Pengerusi Persatuan Pengimport dan Penjual Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, peningkatan itu berlaku kerana harga kenderaan semakin rendah selepas kadar GST disifarkan.

“Apa yang berlaku di luar jangkaan kami, selepas GST disifarkan jualan meningkat mendadak sehingga bekalan sedia ada tidak mencukupi.

“Peniaga mampu menjual le­bih banyak kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) serta ken­deraan utiliti sukan (SUV) antara yang mendapat permintaan tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Shopping Raya anjuran Yayasan Pekema di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Yayasan Pekema menaja kelengkapan perayaan untuk 130 anak yatim, pelajar tahfiz serta anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Ia merupakan program tahunan Yayasan Pekema dan persatuan itu memperuntukkan kira-kira RM2.1 juta pada tahun ini untuk digunakan bagi program kemasyarakatan.

Jelasnya lagi, walaupun kerajaan Pakatan Harapan mahu melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) namun beliau yakin ia tidak akan menjejaskan jualan kenderaan.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin memberitahu, Yayasan Pekema turut menggerakkan ahli-ahlinya mengumpulkan derma untuk disalurkan kepada Tabung Harapan Negara dengan menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM1 juta.

“Kita bersimpati dengan apa yang berlaku kepada negara dan terpanggil untuk bersama-sama membantu menyalurkan bantuan.

“Pekema adalah sebuah pertubuhan bukannya badan politik, kami menyokong kerajaan memerintah dan membantu penubuhan tabung tersebut,” katanya.