Pengurus Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, kerjasama itu dapat membantu menyediakan perancang bandar dan pengurus lalu lintas dalam menyelesaikan masalah pengangkutan, me­ningkatkan kecekapan per­khid­matan kecemasan dan mengurangkan kesesakan.

“Misi utama kami adalah menyediakan penyelesaian dalam mobiliti yang selamat, cekap, mudah dan berpatutan kepada bandar raya seperti Kuala Lumpur. Dengan rakan kerjasama strategik seperti MDEC dan kerajaan Malaysia, kami boleh menawarkan kepakaran dan data yang kami peroleh untuk Malaysia City Brain.

“Di samping itu, ia juga dapat memberi pandangan yang lebih baik dalam menangani pertumbuhan permintaan pengangkutan dan peranca­ngan pengangkutan bandar sebagai satu daripada bandar yang dijana menerusi ke­upayaan digital di Asia Tenggara,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Inisiatif Malaysia City Brain kali pertama dilancarkan pada Januari lalu yang mencerminkan pembangunan bandar pintar oleh MDEC de­ngan sistem pengurusan trafik menggunakan data besar, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan bagi membantu menguruskan ke­perluan pengangkutan bandar.

Menurut laporan Menggerakkan Bersama Asia Tenggara, Grab mempengaruhi keputusan perjalanan kepada 2.5 juta penduduk di rantau ini setiap hari. Memandangkan Malaysia dan Asia Tenggara adalah jaringan pengangkutan terbesar, ia menjadi kunci utama kepada data yang tepat dan efisien yang mewakili pemandu sebenar dan penduduk bandar.

Masa sebenar Grab menunjukkan data lalu lintas tidak dikenali termasuk kelajuan trafik dan masa perjalanan bagi laluan Kuala Lumpur yang popular dan tambahan sumber lalu lintas sedia ada seperti suapan video daripada 500 kamera CCTV dan 300 lampu isyarat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Apabila data-data tersebut diproses menggunakan pengkomputeran awan dan AI, ia dijangka dapat membantu Malaysia City Brain mengenalpasti potensi berlakunya lalu lintas yang mencabar, membangunkan model ramalan yang lebih baik dan pengurusan trafik bandar yang lebih berkesan.

Sementara itu, menurut Pengarah Data Ekonomi MDEC, Dr. Karl Ng Kah Hou, perkongsian sumber data dari Grab dapat membantu perancang bandar untuk memahami keperluan pengangkutan bagi setiap bandar dan kawasan sekitar.

“Ini juga membantu kami menggunakan jalan raya dengan lebih efisien dalam masa sebenar dan meningkatkan indeks kualiti kehidupan secara berperingkat,” katanya.