Kerjasama itu terjalin menerusi majlis menandatangani perjanjian perlantikan di Pejabat Kumpulan GPSB, Q Sentral, dekat sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah GPSB, Nor Izzati Tan Sri Mohamad Salim dan Pengarah Urusan Costa Coffee bagi Asia Tengah dan Asia (Costa MEA), Clair Preston-Beer.

Nor Izzati dalam satu kenyataan berkata, pihaknya optimis bahawa produk kopi Costa akan diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia.

“Kami teruja untuk memulakan usaha ini kerana Costa adalah jenama kopi yang terkenal di seluruh dunia. Sebagai permulaan, fokus GPSB adalah untuk membuka siri kiosk dan butik kopi di stesen pengangkutan awam utama dan pusat beli-belah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada tahun ini.

“Selain itu, pelbagai program menarik untuk pelancaran jenama Costa bakal diadakan serta kalendar aktiviti jenama kopi ini akan diperkenalkan yang melibatkan rakyat di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Preston-Beer berkata, pihaknya yakin GPSB mampu memperkenalkan jenama kopi itu secara meluas kepada semua rakyat negara ini.

“Costa berasa gembira dengan jalinan kerjasama strategik ini bersama rakan kongsi yang hebat seperti GPSB yang dilengkapi dengan pengetahuan untuk membawa jenama kopi kegemaran UK ini ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE