Idola Pelaburan PNB Development Sdn. Bhd. (PNBD), Datuk Rosyam Nor berkata, sekarang ialah masa terbaik bagi golongan muda mendapatkan aset perumahan memandangkan pelbagai tawaran dan peluang yang ditawarkan berbanding dahulu.

“Tahap kesedaran golongan muda terhadap pemilikan rumah masih boleh dipertingkatkan.

“Golongan belia jangan hanya melihat masa depan sekadar pekerjaan sahaja, sebaliknya perlu disusuli dengan pemilikan rumah. Dengan pelbagai tawaran dan peluang yang ditawarkan, inilah masa terbaik untuk orang muda mendapatkan aset masing-masing” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam pemilikan hartanah di Program Idola Pelaburan PNBD, Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) yang sedang berlangsung di Batu Pahat, dekat sini hari ini.

Turut berkongsi pentas bersama beliau ialah penyanyi genit kelahiran Batu Pahat, Najwa Latif.

ROSYAM NOR dan Mohd. Saleem Kailany (tiga dari kiri) bergambar
ROSYAM NOR dan Mohd. Saleem Kailany (tiga dari kiri) bergambar selepas Program Idola Pelaburan PNBD, Minggu Amanah Saham Malaysia di Batu Pahat, dekat Johor Bahru, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PNBD, Mohd. Saleem Kailany berkata, golongan muda seharusnya memandang bidang pelaburan hartanah sebagai suatu bidang yang menyeronokkan, bukannya menakutkan.

“Nasihat saya kepada orang muda, jangan takut untuk melabur. Bertanyalah kepada mereka yang berpengalaman dan pakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini menyatakan komitmen untuk membina 5,000 unit rumah mampu milik menerusi tiga projek perumahan di Port Dickson, Pedas dan Banting.

Projek pertama di Bagan Pinang, Port Dickson dilancarkan 17 April lalu, telah habis dijual manakala projek kedua di Telok Datuk, Banting pula akan dilancarkan Jun nanti, turut menyasarkan golongan muda berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah. - ONLINE