FATEH ISKANDAR FD MANSOR
FATEH ISKANDAR FD MANSOR

Pengarah Urusan Kumpulan Glomac, Datuk Fateh Iskandar FD Mansor berkata, syarikat akan kembali aktif bermula Oktober ini dengan pelancaran Lakeside Residences di Puchong.

Memanfaatkan permintaan lebih kukuh katanya, Glomac bercadang untuk memperkenalkan produk pembangunan kediaman termasuk rumah teres, rumah kembar dan rumah bandar mampu milik di samping kedai runcit.

Jelas beliau, kira-kira 62 peratus produk yang akan dilancarkan terdiri daripada hartanah kediaman manakala 25 peratus unit kediaman bertingkat tinggi sementara baki 13 peratus pula ialah unit komersial.

“Kami juga merancang untuk melancarkan fasa awal rumah teres di pembangunan baharu di Saujana Utama 5 dan Saujana Jaya di Kulai, Johor.

“Terdapat sedikit peningkatan dalam bilangan pelancaran hartanah pada separuh pertama 2017. kami berharap momentum ini akan berterusan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Glomac, Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din.

Sehingga kini, syarikat hartanah itu turut mencatatkan jualan yang belum dibil hampir RM570 juta yang akan membolehkan Glomac terus aktif dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurut Fateh Is­kan­dar, syarikat kini mempunyai bank tanah dengan GDV RM9 bilion di beberapa lokasi strategik di Lembah Klang dan giat mencari peluang untuk mengambil alih tanah-tanah baharu.

“Kami percaya Glomac mampu menawarkan produk yang tepat di lokasi bersesuaian dalam usaha memastikan pelancaran pada masa akan datang terus berjaya,” tambah beliau.