NABILA YASMIN RAZIB

Dilaporkan sejumlah 250,000 warga China mengun­jungi Malaysia untuk tidak melepaskan peluang melawat tempat-tempat menarik di negara ini. Tidak kurang juga yang sibuk membeli-belah di gedung-gedung terkemuka sekitar ibu negara.

Tahukah anda, kira-kira 6.5 juta rakyat China dilaporkan melancong ke luar negara sepanjang musim cuti tahun baharu kalendar lunar ini.

Mereka bukan sahaja membawa bagasi dan telefon pintar masing-masing malah turut membawa satu fenomena baharu dalam sistem transaksi pembayaran tanpa tunai di pe­ringkat global. Ini kerana warga China telah terbiasa menggunakan kemudahan teknologi daripada telefon pintar yang digunakan untuk membuat pembayaran.

Di negara tembok besar itu, rakyat negara berkenaan telah lama mengaplikasikan transaksi pembayaran tanpa tunai dengan majoriti transaksi menggunakan kaedah pengimbasan Kod Quick Response (QR) melalui telefon pintar masing-masing.

Pada 2016, China merekodkan transaksi pembayaran mudah alih sebanyak AS$9 trilion (RM35.18 trilion) melalui aplikasi seperti Alipay dan WeChat Pay. Kedua-dua syarikat ber­kenaan menguasai kira-kira 92 peratus daripada pasaran pembayaran mudah alih domestik.

l Adakah Malaysia sudah bersedia bagi sistem pembayaran tanpa tunai ini?

Terdapat pelbagai instrumen pembayaran digital, antaranya adalah dompet elektronik; perbankan internet; pindahan dana elektronik; sistem tunai elektronik dan sistem simpanan nilai dalam talian.

Di Malaysia, jumlah urusniaga bukan tunai yang direkodkan pada 2016 adalah sebanyak 383.8 juta bagi kad kredit; 4.1 juta bagi kad caj dan 107.5 juta bagi kad debit. Jumlah itu me­rangkumi nilai urusniaga sebanyak RM150 bilion.

Berbeza dengan Malaysia, kaedah pembayaran melalui QR masih kelihatan asing di negara ini. Namun di bandar-bandar besar dalam negara, kaedah itu telah mula diperkenalkan melalui pengenalan aplikasi seperti TaPay dan Alipay.

Usaha memperkenalkan kaedah pembayaran sebegini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 63 peratus kebergantungan transaksi pembayaran tunai menjelang 2020.

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2011-2020 me­nya­sarkan untuk meningkatkan jumlah transaksi e-pembayaran perkapita daripada 44 transaksi kepada 200 transaksi dan mengurangkan penggunaan cek sebanyak lebih separuh daripada 207 juta hingga 100 juta setahun.

Sejak 2009, industri perbank­an telah membuat pelaburan bernilai RM893 juta untuk meningkatkan infrastruktur e-pembayaran, dan akan melabur RM346 juta lagi bagi mengembangkan rangkai­an terminal jualan (POS) serta RM40 juta untuk membangunkan platform pembayaran runcit masa nyata.

Perkembangan teknologi pembayaran juga kini lebih maju serta mengurangkan kos dan memberi manfaat kepada peniaga secara langsung, memandangkan kos operasi mereka dapat diturunkan menerusi Kod QR.

Bagi mengaplikasikan eko­nomi digital, BNM telah mengambil pelbagai langkah dalam meningkatkan platform e-pembayaran, sekali gus menggerakkan negara ke arah masyarakat tanpa tunai, dan terbaru bank pusat itu telah mengeluarkan Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Operasi (ICTF) untuk menggalakkan penggunaan pembayaran melalui kod QR.

Selain bank, pihak kerajaan bersama kementerian juga turut memainkan peranan dalam usaha mendidik orang ramai mengenai ekonomi digital.

l Apakah rakyat Malaysia bersedia menghadapi gelombang baharu ekonomi digital?

Pada masa ini, terdapat 45.4 juta kad debit dan langganan te­lefon bimbit sebanyak 42.8 juta. Kita perlu memanfaatkan dan mengoptimumkan medium ini.

Bagi generasi Y, mereka mungkin tidak menghadapi masalah dalam mengendalikan teknologi, namun bagaimana pula bagi golongan berusia dan yang tinggal di luar bandar?

Jurang digital ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar harus dikecilkan agar sasaran menjadi masyarakat tanpa tunai dapat dicapai. Perkara ini boleh direalisasikan bukan sahaja oleh bank, malah syarikat telekomunikasi dan teknologi juga memainkan peranan dalam menjayakan misi ini.

Capaian internet di sesuatu kawasan misalnya, turut bertindak sebagai antara elemen penting dalam transaksi pembayaran tanpa tunai. Apa yang menjadi halangan penggunaan pembayaran tanpa tunai adalah masalah terminal pembayaran yang sering offline.

Pengguna mungkin sudah muak dengan alasan berkenaan kerana seharusnya bagi menggalakkan penggunaan sistem ini, ia harus diselenggara de­ngan betul bagi mengelakkan masalah yang timbul.

Lebih banyak pendekatan perlu diambil dalam usaha mendidik masyarakat mengenai sistem pembayaran tanpa tunai, ia perlu dilaksanakan bagi memberi pendedahan agar semua transaksi dapat dilakukan dengan selamat.

Dengan adanya sokongan daripada kerajaan, institusi kewangan serta syarikat komunikasi dan teknologi, langkah memperluaskan penggunaan sistem transaksi tanpa tunai ini diharap dapat diperkasakan bagi mencapai sasaran.

Langkah ini juga diharap dapat mendidik masyarakat untuk berbelanja secara berhemat dan secara tidak langsung dapat mengawal perbelanjaan masing-masing.