Menurut Persatuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan Malaysia (Pikom), GBS yang merupakan sebahagian dari­pada aktiviti perniagaan penyumberan luar, telah menjadi satu daripada sektor penting kepada ekonomi Malaysia.

Persatuan itu meramalkan, sektor GBS di negara ini akan berkembang sehingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang dan pada tahun ini sahaja lebih 13,000 peluang pekerjaan berjaya dicipta.

Pengerusi Outsourcing Malay­sia (OM), Cheah Kok Hoong berkata, firma-firma antarabangsa yang menggunakan perkhidmatan GBS yang disediakan oleh syarikat-syarikat Malaysia semakin bertambah bagi menyatukan operasi dan mendapatkan kualiti serta kos perkhidmatan yang berpatutan.

“GBS mula menjadi pemacu perniagaan dan pelaburan di Malaysia. Negara ini mempunyai kejayaan yang baik dalam sektor GBS dan kita perlu lebih agresif bagi melariskan perkhidmatan GBS Malaysia ke pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

GBS merupakan integrasi perkhidmatan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kewangan dan perakaunan, sumber manusia, reka bentuk kejuruteraan dan perkhidmatan. Kebanyakan syarikat yang memanfaatkan strategi GBS adalah untuk menyelaras perniagaan terutamanya bagi mencapai skala ekonomi yang baik.