Menuruti pelan perdagangan yang ketat serta mempunyai pe­ngurusan risiko yang baik dapat mengurangkan pedagang saham daripada membuat kesilapan yang mengakibatkan kerugian.

Sekiranya kita tidak dapat menjana keuntungan yang konsisten, meminimumkan jumlah kerugian itu lebih baik daripada membuat kerugian yang berpanjangan dalam proses menjadi pedagang saham yang bijak dan berjaya.

Sebagai contoh, dalam sepuluh dagangan yang dibuat, ha­nya dua dagangan sahaja yang rugi berbanding dengan lapan dagangan rugi dan hanya dua sahaja yang untung. Inilah yang selalu dilakukan oleh pedagang saham iaitu rugi lebih banyak daripada untung.

Kenapa ia berlaku dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya? Mari sama-sama kita ikuti langkah-langkah pencegahan.

Sebagai permulaan, seseorang pedagang saham perlu membeli saham bersamaan modal yang ada. Maksudnya, jika kita ada modal sebanyak RM10,000 maka jangan beli melebihi modal tersebut. Yang dimaksudkan beli melebihi modal ialah membeli saham berjumlah RM20,000 atau RM30,000.

Seseorang pedagang saham dibolehkan membeli saham dua atau tiga kali ganda daripada duit yang ada di dalam akaun amanah. Ini ialah bagi orang yang membuat urus niaga secara kontra yang mana lebihan jumlah pembelian perlu dibayar pada hari T+3.

Sebagai contoh, pada hari Isnin, Ahmad telah membeli saham syarikat tersenarai ABC yang berjumlah RM30,000 tetapi beliau hanya mempunyai modal di dalam akaun amanah sebanyak RM10,000 sahaja. Maka, Ahmad perlu menambah wang seba­nyak RM20,000 selewat-lewatnya pa­da hari Khamis atau hari T+3.

Sekiranya Ahmad gagal membayar jumlah keseluruhan pembelian tersebut, selepas hari T+3 atau hari Jumaat, saham yang dibeli oleh Ahmad pada hari Isnin akan melalui proses jualan paksa mengikut perundangan Bursa Malaysia.

Sekiranya harga saham syarikat tersenarai ABC semasa dijual paksa lebih rendah daripada harga beli, maka Ahmad akan mendapat rugi kontra. Kerugian ini akan ditolak daripada wang yang berada di dalam akaun amanah Ahmad.

Sebagai contoh katakan harga beli 10,000 unit saham syarikat tersenarai ABC ialah RM1.20 dan semasa jualan paksa ini dibuat, harga jualan paksa saham syarikat tersenarai ABC ialah RM1. Ini bermakna Ahmad telah mengalami kerugian sebanyak 20 sen atau RM2,000 bagi 10,000 unit saham.

Kerugian sebanyak RM2,000 ini disebut sebagai rugi kontra dan akan ditolak daripada modal yang berada dalam akaun amanah Ahmad yang berjumlah RM10,000. Maka, setelah kerugian ini ditolak, modal yang ada di dalam akaun amanah Ahmad ialah RM8,000.

Sekiranya seseorang pedagang saham selalu membuat transaksi kontra lebih-lebih lagi pedagang saham baharu yang cetek ilmu dan pengalaman, ditakuti modal pelaburan yang berada di dalam akaun amanah semakin susut atau hilang terus.

Justeru, pelabur dan pedagang saham baharu perlu membeli saham bersamaan modal yang ada dan perlu tunggu harga saham naik dan membuahkan keuntungan untuk membuat keputusan menjual.

Ini ialah kerana harga saham boleh mengambil masa yang agak lama untuk naik sejurus kita membeli saham.

Sekiranya seseorang pelabur atau pedagang saham telah membuat penjualan sesuatu saham, maka eloklah dia berhenti daripada membeli saham yang lain. Maksudnya ialah jika dia menjual sesuatu saham pada hari Isnin, janganlah membeli saham yang lain pula pada hari yang sama. Boleh membeli pada keesokan hari­nya atau selepas Isnin.

Langkah untuk berhenti seketika kerana kebiasaannya orang yang telah memperoleh keuntu­ngan akan merasa tamak dan akan membeli lagi untuk membuat untung yang lebih banyak. Kadang-kala sifat tamak ini akan membuatkan seseorang itu beremosi dan kurang tenang dalam memi­lih saham-saham berpotensi.

Juga, tindakan yang terburu-buru ini kadang-kala membuatkan kita membeli saham tanpa membuat kajian dan semakan terlebih dahulu.

Sebaik-baiknya tunggu keesokan harinya untuk memastikan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan global tidak mempunyai kesan negatif ke atas pasaran tempatan atau tunggu hari yang lain untuk membuat keputusan membeli.

Kadang-kala pasaran cen­derung bertukar kepada aliran menurun pada hari yang sama secara tiba-tiba. Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada yang ingin mendapatkan pembelajaran saham pada bulan Mei ini boleh meng­hubungi talian 013-3899162 atau 013-3225274.